Didakwa mengakibatkan pempengaruh Wak Doyok kerugian sebanyak RM3 juta, WD Food Group menangkis tuduhan yang disebarkan dalam media sosial dengan memfailkan saman fitnah bagi membersihkan nama syarikat.
Pengarah Operasinya, Muhammad Hanif Omar, berkata, tiada sebarang perjanjian berhubung jumlah pulangan seperti disebutkan rakan niaga mereka itu, bahkan syarikat juga sudah menyerahkan hasil keuntungan berjumlah RM800,000.
“Sebenarnya memang tiada perjanjian membabitkan keuntungan RM3 juta di antara pihak saya (WD Food Group) dengan dia (Wak Doyok) seperti dihebohkan.
“Saya pun tidak tahu dari mana dia mendapat jumlah tersebut. Itu kena tanya dia sendiri.
“Tetapi kami sudah membayar keuntungan RM800,000 kepadanya. Bahkan November ini syarikat juga akan mengembalikan wang pelaburannya sebanyak RM300,000,” katanya kepada Kosmo! Online.
Hanif ditemani peguamnya dari Shahrin Satheer Kamal & Co memaklumkan perkara itu ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum ini, Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd. Azwan Md. Nor, 44, mendakwa menanggung kerugian lebih RM3 juta akibat ditipu rakan perniagaan syarikat berasaskan makanan.
Menurut usahawan yang juga pelakon itu, dia menyedari ditipu pasangan suami isteri terbabit selepas membuat semakan dalam urus niaga mereka.
Dalam masa sama, Hanif berkata, kenyataan palsu disebarkan personaliti tersebut menjejaskan operasi syarikat serta reputasinya sebagai ahli perniagaan.
“Wak Doyok telah membuat kacau. Dia datang ke pejabat kami sehingga mengganggu kerja kakitangan serta operasi syarikat,” ujarnya.
Sementara itu, peguam Hanif, Faiz Kamal Jaafar berkata, anak guamnya turut memohon perintah injuksi terhadap Wak Doyok yang akan disebutkan pada 2 September depan.
Katanya, proses mediasi sepatutnya diadakan namun terbantut selepas lelaki terbabit tidak memberikan kerjasama apabila memulakan kekecohan terlebih dahulu.
“Pada awalnya kami mahu mengadakan proses mediasi untuk menyelesaikan perkara ini di luar mahkamah tetapi tidak berhasil,” katanya.
Menurut Faiz lagi, pengurusan WD Food akan menamatkan usaha sama perniagaan dengan Wak Doyok pada November depan.
“Sepatutnya kerjasama niaga antara syarikat dan Wak Doyok berlangsung selama dua tahun yang berakhir Disember ini, tetapi kami tamatkan kontrak lebih awal selepas isu ditimbulkannya.
Selain memfailkan saman fitnah, WD Food Group turut mengemukakan dua lagi tuntutan iaitu berkaitan cap dagang yang akan disebutkan di mahkamah bulan depan. – HIBGLAM