SUTRADARA terkenal Malaysia, Bade Azmi kini kembali ke kerusi pengarahan apabila tampil dengan sebuah filem yang diadaptasi daripada cerita rakyat dari Terengganu berjudul Ulek Mayang.
Filem yang diterbitkan hasil kerjasama Syarikat produksi Langit Terang Production Sdn. Bhd. bersama Valus Vision International Film Distribution itu akan membawa penonton menghayati kisah percintaan antara dua dimensi antara puteri bernama Mayang dan Awang yang diinspirasikan daripada lagu dan tarian tradisional Terengganu, Ulek Mayang.
Dengan mengetengahkan genre seram dan cinta, Ulek Mayang turut menggabungkan penceritaan menarik dengan sentuhan moden dengan meneroka unsur mistik dan spiritual bersama kesan visual menakjubkan.
Secara tidak langsung, naskhah tersebut bakal membawa penonton ke dunia legenda dahulu kala dengan memberi pengalaman sinematik yang tidak akan dilupakan.
Menurut Bade, dia mahu mengetengahkan kekayaan dan kepelbagaian budaya masyarakat di Terengganu dengan memperkenalkan kisah Ulek Mayang untuk tatapan penonton.
“Melalui filem Ulek Mayang, saya ingin mempamerkan kekayaan dan kepelbagaian budaya Terengganu yang mempesonakan ke layar perak sekali gus meraikan kepelbagaian tradisi, adat resam dan cerita yang membentuk identiti masyarakat kita.
“Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan budaya dan cerita rakyat. Filem pula merupakan platform dan peluang terbaik untuk tonjolkan keunikan negara kita kepada dunia.
“Sudah masanya kita eksport bakat dan lakonan kita kepada orang luar,” ujar Bade yang mahu menjulang karya Ulek Mayang ke persada antarabangsa.
Penggambaran Ulek Mayang yang akan dijalankan di Terengganu juga diharap dapat mempromosikan negeri Pantai Timur itu kepada masyarakat di seluruh dunia.
“Dengan memaparkan keindahan rantau ini, saya berharap dapat mempromosikan pelancongan dan pertukaran budaya sekali gus menggalakkan para pelancong menerokai lanskap dan tradisi budaya masyarakat di Terengganu,” jelasnya.
Untuk merealisasikan karya Ulek Mayang, satu sesi uji bakat akan diadakan untuk mencari pelakon yang bakal mengisi watak dalam karya hebat itu nanti.
“Kami akan adakan sesi uji bakat pada tarikh yang akan diumumkan kelak menerusi Instagram @ulekmayang_the movie.
Uji bakat ini nanti akan menjadi platform terbaik untuk mencungkil bakat-bakat baharu.
“Pihak produksi akan mencari pelakon yang sesuai. Pemilihan pelakon pula seratus peratus bergantung kepada bakat tanpa memandang jumlah pengikut mereka dalam laman sosial,” jelasnya.
Penerbit dan penulis skrip Ulek Mayang, Nur Hussein berkata, dia mengambil masa selama dua tahun untuk membuat kajian tentang karya legenda tersebut termasuk berjumpa dengan pakar budaya bagi memastikan tidak ada mitos yang bercanggah dalam jalan cerita Ulek Mayang.
“Bila sebut Ulek Mayang, semua orang akan bercakap tentang unsur mistik dan seram. Sampaikan kita tidak tahu pun tentang cerita sebenar apa yang terjadi sehingga hikayat ini muncul,” katanya.
Penggambaran filem Ulek Mayang akan bermula pada tahun hadapan selepas musim tengkujuh berakhir. – HIBGLAM