‘Nak cepat hamil, takut mak tak sempat tengok’

ENGGAN mengecewakan ibu tercinta, pelakon Jue Aziz kini berusaha mendapatkan zuriat sendiri sebelum insan kesayangannya itu menutup mata.

Jue atau nama sebenarnya, Zuliana Abdul Aziz, 41, berkata, perkara itu antara faktor yang menggerakkan hatinya untuk  mendirikan rumah tangga buat kali kedua.

“Buat masa sekarang saya dalam proses mencuba untuk hamil. Memang tak tunggu lama sebab mak saya bukan sihat sangat.

“Mak selalu cakap dia teruja untuk lihat saya ada anak sendiri. Dia sakit, saya risau kalau jadi apa-apa.

“Sebab itu saya cepat-cepat kahwin kerana mahu meluangkan lebih banyak masa dengan mak, jadi senang nak kemana-mana,” katanya kepada HibGlam.

Terus berikhtiar, pelakon filem Hantu Bonceng itu memaklumkan dirinya lebih peka dengan waktu selain tidak segan memohon orang ramai mendoakannya agar segera berbadan dua.

“Saya tidak pernah malu untuk minta doa orang ramai agar cepat hamil sebab dulu saya tunggu lama tetapi tidak berjaya.

“Sekarang saya gigih periksa waktu subur dan sesuai hamil sebab sudah berusia 41 tahun. Kalau lambat takut mak tak sempat tengok.

“Itu yang buat sedih, dalam keluarga saya seorang sahaja yang tiada anak. Ada sekarang ini pun anak angkat,” ujarnya pada sidang media filem Miftah Alam, hari ini.

Berbincara lanjut mengenai perkahwinan keduanya, Jue berharap ikatan kali ini kekal hingga akhir hayat.

“Saya tidak memilih yang kaya sahaja. Saya terima sahaja siapa yang ditakdirkan untuk saya dari dulu lagi, paling penting saya selesa dengan dia.

“Orang kata cintakan saya memang ramai tapi untuk dapatkan yang selesa itu yang mahal. Apabila selesa automatik lebih memahami antara satu sama lain.

“Sayang mudah untuk diungkapkan tetapi hendak cari yang selesa itu bukan mudah. Harap inilah yang terakhir,” katanya.

Terdahulu, Jue mengejutkan orang ramai apabila berkongsi video majlis pernikahannya yang berlangsung di Masjid Abu Al-Darda, Nilai, Negeri Sembilan dalam Instagram miliknya.

Hampir lima tahun menjanda, Jue akhirnya mendedahkan sudah bertemu jodoh dengan  jejaka dikenali sebagai Ridwan, 35.

Mereka melangsungkan pernikahan pada 18 Ogos lalu di Masjid Abu Al-Darda, Nilai, Negeri Sembilan yang hanya dihadiri keluarga terdekat dan kenalan rapat.

Pada 2015 Jue pernah mendirikan rumah tangga dengan pemuzik dari Indonesia, Bayu Parman namun bercerai empat tahun kemudian.

Mereka tidak dikurniakan cahaya mata dan memiliki seorang anak angkat, Darwish Naufal, 12. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok