‘Khairul Aming kebanggaan saya dan rakyat Malaysia’

BUAT apa kita nak banding-bandingkan pengalaman dan pencapaian masing-masing. Buang masa!”

Itu respons cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan apabila dibanding-bandingkan dengan pempengaruh Khairul Aming.

Chef Wan, 66, memaklumkan tiada keperluan membandingkan dirinya dengan selebriti media sosial terbabit kerana mereka datang dari latar belakang berbeza.

Kenapa nak banding sedangkan kami mempunyai kerjaya dan pengalaman berbeza, jadi untuk apa segala perbandingan?,” katanya menerusi Instagram.

Dalam masa sama, personaliti masakan tersohor arena antarabangsa itu tidak tersinggung sekiranya pencapaiannya dipandang sepi selain menikmati kehidupan sekarang.

“Selepas 34 tahun kerjaya saya di televisyen dan sumbangan kepada negara, jika mereka tak nampak pun, tak berkudis badan saya.

“Ingat, kita semua ada momen sediri dalam kehidupan, saya pula sudah jauh perjalanan hidup dan luas pandangan.

Atuk dah pencen nak! Saya selesa dengan keadaan saya dan nikmati hari pencen saya,” jelasnya lagi.

Pada masa sama, Chef Wan juga mengakui berbangga dengan kejayaan Khairul Aming yang mengharumkan nama negara baru-baru ini.

“Jika orang berjaya, kita iringi dengan doa yang baik-baik untuk mereka.

Dia juga menjadi sumber inspirasi dan kebanggaan buat saya dan seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Sebelum ini, ada pihak membanding-bandingkan pencapaian dan kemampuan memasak Chef Wan dan Khairul selepas pempengaruh itu menerima kunjungan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok