21 hari di penjara, Da’i Syed sifatkan tempoh ‘gelap’ dalam hidup

TAMPIL dengan berimej botak, pendakwah bebas Da’i Syed menyifatkan pengalaman dipenjara selama 21 hari sebagai tempoh yang pahit dalam hidupnya.

Menurut Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 29, pengalaman tersebut mengajarnya menjadi individu lebih baik selain berpeluang berdakwah dalam penjara.

“Allah SWT adalah sebaik-baik perancang. Masuk penjara merupakan pengalaman yang sangat pahit. Gelap hidup saya pada saat itu.

“Tapi, Alhamdulillah kesihatan saya sepanjang dalam penjara baik, saya makan pun cukup. Cuma hari ini saya tak sihat sebab demam.

“Layanan dalam penjara pun sangat baik. Saya bersyukur dapat menyampaikan dakwah ajar orang mengaji dan menyambut Maulidur Rasul di dalam sana,” katanya kepada Kosmo! Online di pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini, hari ini.

Berkongsi dengan imej botaknya, Syed berseloroh tidak menyangka rambutnya dicukur sedangkan niat asalnya mahu mencukur rambut anak perempuannya, Sharifah Fatma Nour Jamalullail.

“Pada hari Jumaat itu (sebelum dipenjara) saya memang ada berniat nak cukur rambut anak saya.

“Ketika itu, saya baru luangkan masa bersama anak selama 16 hari. Tapi takdir Allah petang itu, saya berniat nak cukur rambut anak saya tapi rambut saya yang dicukur (selepas dijatuhkan hukuman penjara),” ujarnya.

Dia juga mengakui bahawa semua perkara yang menimpanya pada ketika ini memberi kesan terhadap kerjayanya dan nekad untuk bangkit semula selepas ini.

“Saya akan cuba bangunkan semula kerjaya saya dan lakukan apa yang boleh seperti berniaga untuk menyara keluarga,” katanya lagi.

Hari ini, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 5 November depan sebagai tarikh pengurusan kes dakwaan merogol seorang wanita pada tahun 2020.

Terdahulu, selepas 21 hari berada dalam penjara menjalani hukuman atas pertuduhan merogol seorang wanita, pendakwah selebriti, Da’i Syed dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 20 September lalu.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Da’i Syed selaku pemohon untuk menggantung pelaksanaan hukuman sehingga rayuannya di didengar dan diputuskan di Mahkamah Tinggi.

Pada 30 Ogos lalu, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 29, sebagai tertuduh ketika itu, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah pertuduhan merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.

Hakim Norazlin Othman memutuskan demikian selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan Syed Shah Iqmal didakwa atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun (ketika kejadian) di dalam bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, di sini pukul 1.35 pagi pada 11 September 2019. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok