Zuriat pengikat kasih sayang, rugi tolak – Hazama

PENYANYI Hazama menganggap pasangan muda yang memilih untuk tidak mempunyai anak atas prinsip ‘childfree’ yang menjadi trend ketika ini sebagai satu kerugian besar.

Bagaimanapun, Hazama atau nama sebenarnya, Hazama Azmi, 40, tidak menyalahkan pasangan terbabit kerana mereka berhak menentukan keputusan sendiri dalam menentukan perancangan keluarga.

Secara peribadi, saya rasa sangat rugi sebab anak itu sebenarnya pengikat kasih sayang yang membuatkan kita belajar banyak benda.

“Tapi terpulanglah kepada setiap pasangan, siapa saya untuk cakap lebih-lebih, mungkin mereka belum lagi mendalami erti perkahwinan sebenar atau ada matlamat lain.

Pada saya, kalau kahwin dan boleh dapat anak, biarlah ada anak. Nanti bila kita nak Allah tak bagi, macam mana?” katanya kepada HibGlam.

Hazama berkata demikian semasa ditemui pada sesi pra-dengar Album Pujangga di kediamannya, semalam.

Pelantun lagu Penglipurlara itu berkata, dia juga tidak bersetuju apabila wujud pasangan tidak bertanggungjawab yang tergamak mendera atau membuang zuriat diamanahkan kepada mereka.

“Ada pula yang anak dibuang dan didera, sayang sangat sebab Tuhan bagi bukan untuk itu.

Kadangkala bila dengar isu sebegini saya termenung dan terfikir kenapa Tuhan bagi anak kepada orang macam tu. Patut bagi kepada saya yang tahu dan mahu jaga anak.

“Kita kena ingat, apa yang kita buat ada balasannya, tanggunglah nanti jika buat begitu,” tuturnya.

Hazama dan Genervie yang juga seorang pengarah muzik mendirikan rumah tangga pada 14 Januari 2017 namun belum dikurniakan cahaya mata meskipun sudah lapan tahun hidup bersama.

Terdahulu, konsep kehidupan tanpa zuriat cukup popular dalam media sosial seperti TikTok, Instagram dan YouTube sehingga menjadi perdebatan ramai.

Selain dipercayai sebahagian daripada gaya hidup, keputusan untuk tidak memiliki anak juga didorong oleh faktor ekonomi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok