NAMA Azira Shafinaz memanas apabila dikatakan menjadi punca pengunduran kumpulan De Fam daripada program nyanyian, The Hardest Singing Show (THSS).
Masakan tidak, Azira sendiri mengatakan dia mempunyai sebab tersendiri dan perkara tersebut mendapat sokongan daripada pakar perubatan.
“Semua itu sudah berlalu, sekarang kita mula dengan sesuatu baharu. Saya sudah jelaskan sebelum ini jadi kita teruskan saja,” katanya seraya membibitkan senyuman.
Lebih senang membiarkan episod lama berlalu, Azira kini memilih untuk fokus dan meneruskan kerjaya dalam bidang seni tanpa menoleh ke belakang.
Mengambil pendekatan berehat seketika daripada kerja, pemilik nama lengkap Azira Shafinaz Ramlan itu akan kembali ke set penggambaran sekitar Ogos nanti.
Katanya, peluang yang ada mahu digunakan sebagai ‘tempoh bertenang’ setelah sekian lama mengabdikan diri dengan kerja.
“Saya menjalani penggambaran drama Viu Original, Nafsu sejak Disember tahun lalu hingga Februari. Kemudian saya teruskan dengan drama Kiblat Ke Syurga.
“Sebaik selesai semua itu, saya terus dengan program THSS dan tiada masa senggang untuk berehat seketika, jadi mungkin juga disebabkan keletihan membuatkan kesihatan saya terganggu,” katanya yang membawakan watak sebagai Dina dalam Nafsu bergandingan dengan Kamal Adli.
Azira bagaimanapun enggan menjadikan masalah kesihatan sebagai alasan untuk mengalah, sekali gus mengetepikan segala usaha setelah lebih sepuluh tahun bergelumang sebagai anak seni.
“Bagi saya itu lumrah sebagai artis yang melalui aktiviti kerja yang padat. Saya tidak mengeluh mengenai itu, sebaliknya bersyukur kerana mempunyai tawaran kerja dan peminat masih inginkan saya.
“Apa yang boleh dilakukan ialah dengan mengambil vitamin atau makanan tambahan yang bersesuaian. Lagi pun saya tidak mahu orang melihat saya sedang sakit.
“Sedaya mungkin saya akan tunjukkan saya sihat dan masih mampu melakukan rutin harian serta menguruskan kerjaya seperti biasa,” jelasnya bersungguh-sungguh.
Percaya takdir
Melanjutkan cerita, Azira sedar ujian yang datang saat namanya berada di puncak.
Bukan sahaja soal lakonan, malah nama kumpulan De Fam juga semakin harum mekar setelah lagu Alamak Raya! Lagi menjadi fenomena Syawal lalu.
“Pada saya ujian mampu datang pada bila-bila masa dan ini adalah ujian untuk saya sekarang. Insya-Allah saya terima ujian ini dengan tenang.
“Setiap yang berlaku itu mempunyai sebab tersendiri dan saya yakin dengan perancangan Allah.
“Sebagai manusia, kita hanya mampu merancang dan Tuhan sahaja yang menentukan segalanya. Meskipun buat masa ini saya berehat daripada menguruskan kerjaya solo, aktiviti dengan De Fam bagaimanapun berjalan seperti biasa,” ujarnya.
Enggan membiarkan dirinya diselubungi fikiran negatif, Azira membulatkan hati dengan mengambil setiap perkara yang berlaku itu ada sebabnya tersendiri.
Teguran, cinta
Baginya, tidak perlu hidup dengan aura negatif kerana perasaan itu pasti akan mematikan semangat secara perlahan-lahan.
“Saya lebih senang menerima setiap kejadian yang berlaku itu secara terbuka. Saya tidak mahu orang melihat saya lemah walaupun ada banyak masalah yang berlaku dalam hidup.
“Apa yang ingin ditonjolkan ialah bakat dan itu yang saya mahu orang menilai tentang diri saya. Sejujurnya sejak awal pembabitan, tidak mengira saat saya memulakan kerjaya solo atau berkumpulan, kontroversi atau cerita kurang enak memang tiada.
“Bukan sahaja saya, malah ahli De Fam lain itu tidak terkait dengan sebarang kontroversi yang menjejaskan nama kami,” terangnya.
Malah, Azira turut bersyukur apabila bukan hanya dirinya melakukan anjakan dalam karier, tetapi juga dua rakannya iaitu Cik Manggis and Sophia Liana.
“Syukur tahun ini bukan hanya saya, tetapi kerjaya De Fam juga berjalan dengan lancar. Alhamdulillah saya sangat bersyukur dan insya-Allah kami akan muncul dengan lagu baharu selepas ini,” tuturnya lembut.
Tidak hanya itu, De Fam juga berjaya merangkul anugerah Artis Berkumpulan Wanita Terbaik 2024 pada Anugerah Personaliti Industri & Usahawan Malaysia 2024.
Selain hanya soal kerjaya, pelakon cantik itu turut ditebak dengan soalan cinta sekali gus perjalanan hubungan dengan kekasih hatinya dikenali sebagai Yasser Khan.
“Hubungan kami baik sahaja, tetapi perancangan untuk berkahwin lambat lagi.
“Insya-Allah sekiranya ada perancangan untuk berkahwin, saya akan kongsikan tetapi buat masa sekarang, ini setakat itu,” tutupnya. – HIBGLAM