PELAKON terkenal Zul Ariffin menafikan keakraban dengan Penerbit Eksekutif Infinitus Entertainment, Gayatri Su-lin Pillai menjadikannya anak emas syarikat produksi berkenaan.
Menurut Zul atau nama sebenarnya, Zulkifli Ariffin, 38, Gayatri merupakan individu yang paling sukar untuk meluluskan namanya dalam projek filem.
“Biasanya dia (Gayatri) akan mencadangkan nama pelakon lain berbanding saya. Saya kenal dia dari zaman Tayangan Unggul lagi, kalau tidak sudah pelbagai filem saya buat dengan dia.
Saya selalu mengingatkan diri saya, jika watak itu sesuai dengan saya barulah saya terima. Saya mahu berdiri atas kaki sendiri, buat yang terbaik dan tidak perlu harapkan orang.
“Saya sanggup tidak mendapat tawaran kerja berbanding ikut jalan itu,” ujar Zul.
Dalam masa sama Zul menegaskan, dia bukan anak seni yang suka melobi tawaran demi kelangsungan karier seni.
Saya tidak akan paksa orang untuk ambil saya berlakon. Itu prinsip saya. Saya bukan pelakon yang suka melobi,” tutur Zul yang ditemui pada sesi forum Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) 2024 di GSC MyTow, di sini semalam.
Meskipun begitu, Zul tidak menolak faktor keserasian menyebabkan dia kerap bekerjasama dengan Infinitus Entertainment.
Antara filem lakonannya bersama syarikat produksi tersebut adalah J Revolusi, Sangkar, Tablis Iblis dan J2: J Retribusi.
Jika diamati kebanyakan syarikat penerbitan besar termasuk stesen televisyen akan menggunakan perkhidmatan orang yang sama.
“Bukanlah kata sebab kroni, tetapi mungkin sebab selesa bekerjasama. Begitu juga halnya saya dengan Infinitus.
Memang tidak dinafikan banyak filem saya bersama Infinitus, malah syarikat ini juga yang memberi peluang kepada saya untuk menjadi pelakon filem buat kali pertama.
“Bagi saya perkara ini bukan satu isu. Saya pun tidak kisah jika ada yang bergurau melabel saya anak emas Infinitus. Janji saya beri kualiti kerja yang dimahukan,” kata Zul. – HIBGLAM