HAMPIR sebulan terpisah dengan anak perempuannya, Nur Izzara membuatkan penyanyi Datin Alyah tidak sabar untuk pulang ke tanah air.
Alyah atau nama lengkapnya Noor Hasliah Abu Hasan, 43, yang berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah haji sejak 12 Jun lalu memberitahu dia mengalami kesukaran membuat panggilan video sepanjang berada di sana.
Disebabkan itu, dia terpaksa memilih alternatif lain bagi memantau perkembangan anaknya secara berkala meskipun berjauhan dengan keluarga.
“Saya memang rindukan dia, tetapi di sini di sini agak sukar untuk membuat panggilan video.
Jadi saya terpaksa menggunakan kaedah lain untuk berkomunikasi dengan dia iaitu melalui CCTV (televisyen litar tertutup) rumah sahaja,” katanya kepada HibGlam.
Tambah Alyah, biarpun mengalami kekangan untuk menghubungi keluarga, namun suaminya, Datuk Ramli MS kerap berkongsikan video aktiviti Nur Izzara kepadanya.
“Bila tidak dapat berhubung, Tok Ram (Ramli MS) selalu hantar video Zara.
Alhamdulillah, sedikit sebanyak dapat juga mengubat kerinduan dengan mereka lebih-lebih hampir sebulan berjauhan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, penyanyi lagu Kisah Hati itu turut memaklumkan mengalami demam dan batuk selepas pulang dari Mina.
“Keadaan kesihatan sedikit terganggu selepas pulang dari Mina apabila saya mula demam dan batuk.
Keadaan suhu di sini agak panas sehingga mencecah 53 darjah Celsius. Tetapi, alhamdulillah saya masih mampu bertahan.
“Apa yang membuat saya sedih apabila melihat setiap waktu solat, akan ada banyak kematian di masjid melibatkan golongan warga emas.
Difahamkan akibat cuaca panas ini ramai yang mengalami masalah kesihatan dan ada juga yang meragut nyawa,” jelasnya.
Selain Alyah beberapa selebriti lain yang turut berangkat ke Tanah Suci mengerjakan ibadah haji terdiri daripada Ella, Datuk Amy Search, Elfira Loy, Faizal Ismail, Johan dan Ozlynn.
Untuk info, Alyah dijadualkan berangkat pulang ke Malaysia pada 16 Julai depan. – HIBGLAM