HAJAT Allahyarham Jaafar Onn mahu menerbitkan semula drama bersiri popular era 1990-an, Cili Padi tidak kesampaian apabila arwah menghembuskan nafas terakhir, semalam.
Perkara itu dikongsikan rakan gandingan arwah dalam naskhah itu, Melissa Saila yang menyatakan keinginan tersebut disuarakan menerusi pengarah sitkom tersebut iaitu Aziz M. Osman sekitar tahun lalu.
Begitupun, pelakon yang membawakan watak Maria itu terkilan apabila tidak dapat memenuhi permintaan Allahyarham merealisasikan ‘reunion’ terbabit.
“Daripada Aziz M. Osman, saya difahamkan arwah menyatakan hasrat mahu menerbitkan semula Cili Padi dalam bentuk supertele tahun lalu.
“Aziz ada hubungi saya ajak berlakon, cuma pada awalnya saya terpaksa pertimbangkan dulu disebabkan terikat dengan komitmen lain tetapi Aziz terus memujuk.
Arwah nak terbitkan projek ini memandangkan skrip juga sudah siap, jadi selepas berbincang dengan suami, saya pun akhirnya bersetuju.
“Namun kita hanya merancang, Allah yang menentukan. Hasrat Allahyarham untuk hidupkan semula sitkom ini dan merealisasikan reunion kami selepas tiga dekad tidak dapat dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi HibGlam.
Melissa atau nama penuhnya, Melisa Abdul Mohd. Alias, 52, berkata, karya yang menyatukan mereka ketika dia berusia belasan tahun itu merapatkan ikatan persahabatan mereka.
“Dulu kami sangat akrab kerana usia saya yang agak dewasa sedikit berbanding pelakon Cili Padi lain yang rata-rata masih kanak-kanak.
Walaupun jarang berjumpa selepas itu, kami tetap berhubung bahkan tiga tahun lalu saya mengundangnya membintangi drama terbitan syarikat produksi saya berjudul Ismadi Belum Mati.
“Apabila dimaklumkan berita pemergian Allahyarham, memang saya sedih sebab Abang Jaafar sangat baik serta prihatin dengan semua orang,” ujarnya.
Selain Melissa yang juga anak seniwati Mariani, Cili Padi yang popular awal tahun 1990-an turut dibintangi Anne Ngasri sebagai Lili, Tam Suhaimi (Salim) serta Nik Fariz Nik Fadzil (Syafiq).
Allahyarham Jaafar, 73, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah Serdang, Selangor akibat serangan jantung, pukul 11.30 pagi semalam.
Sebelum ini pengacara popular itu mengalami masalah injap jantung yang mengakibatkan kakinya membengkak sehingga perlu menggunakan kerusi roda sekitar enam bulan lalu.
Jenazah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Masjid Jamek Al-Firdaus, Tanjung Gading, Muar, Johor, malam tadi. – HIBGLAM