Insya-Allah saya akan kongsi bila dah sedia – Mawar Rashid

PELAKON Mawar Rashid enggan mengulas mengenai khabar angin mendakwa bakal menamatkan zaman janda dengan jejaka pilihannya yang dikatakan berasal dari Brunei.

Mawar atau Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 29, memberitahu dia memilih pendirian mengunci mukut ketika ini dan akan berkongsi berita gembira sekiranya sudah bersedia kelak.

“Saya belum boleh beri sebarang komen tentang hal berkenaan kerana terlalu peribadi.

“Insya-Allah saya akan kongsi dan maklumkan kepada semua sekiranya apabila sudah bersedia dalam tempoh terdekat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Sementara itu, bekas peserta pertandingan Dewi Remaja 2014/15 turut memohon orang ramai agar mendoakan yang perkara yang baik buat dirinya ketika ini.

“Buat masa sekarang, doakan sahaja hal yang baik-baik sahaja untuk saya. Itu sahaja yang boleh saya kongsikan buat masa ini.

“Terima kasih atas doa dan ambil berat mengenai saya,” katanya lagi.

Terdahulu, dakwaan Mawar akan mendirikan rumah tangga mula menjadi tanda tanya apabila dia memuat naik foto dan video dalam Instagram hari ini memaparkan dirinya sedang disolek dan tangan dihias inai berwarna putih.

Sebelum itu, dia juga sempat memuat naik foto dipercayai dia bersama suami yang hanya menampakkan bahagian paha mereka dan memakai pakaian sedondon berwarna merah jambu.

“Alhamdulillah,” tulisnya dalam foto tersebut.

Untuk rekod, Mawar sebelum ini pernah berkahwin dengan Raf Yaakob pada tahun 2017.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Raden Muhammad, 4, Raden Seri Rosabella Cinta, 2, dan Raden Seri Riyanna Sayang, 10 bulan.

Jodoh tidak panjang, pasangan ini mengesahkan sudah bercerai pada 23 November lalu menerusi perkongsian di laman Instagram tanpa mendedahkan punca perpisahan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok