Aizat Amdan, Fabio Asher gegarkan JioSpace 24 Februari ini

BUAT julung kali penyanyi Aizat Amdan bakal berkongsi pentas dengan rakan seperjuangan dari Indonesia, Fabio Asher menerusi konsert An Intimate Night With Fabio Asher and Aizat Amdan.

Bakal berlangsung di JioSpace, Petaling Jaya pada 24 Februari ini, Aizat berharap kolaborasinya bersama bekas peserta program X Factor Indonesia yang popular dengan lagu Rumah Singgah itu diharap menjadi gelanggang perhimpunan  pengikut tegar mereka.

“Saya mahu menjadikan konsert ini sebagai medium mengeratkan semula hubungan dengan peminat.

“Apatah lagi sepentas dengan Fabio yang juga mempunyai kelompok pendengar sendiri, saya pasti malam itu nanti mencipta magis buat semua,” katanya.

Dianjurkan Tanjak Adventure & Tour, kedua-dua penyanyi itu bakal menyampaikan 30 dendangan termasuk beberapa seleksi duet menerusi segmen khas.

Menurut pemilik nama lengkap Muhammad Aizat Amdan, 35, itu, 17 tahun mengukuhkan langkah dalam industri muzik membuatkan dirinya teruja untuk merealisasikan konsert tersebut.

“Banyak kejutan dirancang untuk persembahan mega ini dan kami mahu penonton pulang bersama kepuasan dan memori manis,” ujarnya.

Bagi Fabio yang juga penulis lagu, kunjungan kali ketiga di Kuala Lumpur membawa 1,001 harapan apatah lagi bakal beraksi dalam konsert besar.

Berkongsi pentas bersama Aizat pastinya bakal menyaksikan kelainan dalam persembahan saya kali ini, malah menjadi malam melankolik yang sarat rasa,” katanya.

Tiket dibahagikan kepada  empat kategori termasuk duduk dan berdiri yang bermula pada harga RM198 boleh ditempah di https://tanjak.ubertickets.asia – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok