Hikmah bintang K-Pop dilayan seperti ‘kain buruk’

BUKAN mudah untuk menempa nama dalam industri seni hiburan yang penuh dengan onak ranjau berduri. 

Jalan yang perlu dilalui segelintir selebriti bukanlah seindah disangka bahkan, kadang-kadang persis medan pertempuran penuh kisah duka dan air mata.

Bukan sahaja perlu bersaing dengan lambakan artis lain yang turut menggali rezeki di cabang kerjaya sama, mereka adakalanya menerima layanan kasar sewaktu berada di lokasi penggambaran.

Kimchi Panas minggu ini merangkumkan kisah beberapa selebriti Korea yang pernah diperlakukan dengan seperti kain buruk sewaktu awal permulaan karier mereka di gelanggang seni masing-masing. 

Chun Jung-myung

CHUN JUNG-MYUNG

Aktor tampan Chun Jung-myung mendedahkan pengalaman pahitnya sewaktu awal permulaan kariernya sebagai pelakon malah mengakui pernah dipukul oleh seorang pengarah.

Kongsinya, ketika proses pembacaan skrip, pengarah itu bersikap baik dan semuanya kelihatan berjalan lancar, namun sikap pengarah tersebut berubah apabila proses penggambaran dimulakan.

Semasa penggambaran pertama, Jung-myung memberitahu dirinya berasa seperti ingin melarikan diri apabila menerima banyak pukulan hingga salah satu giginya patah hanya kerana lakonannya kurang bagus.

Tetap berjuang malah tidak sedikit pun menyimpan dendam, perkara tersebut sebaliknya memberikannya motivasi untuk melalui segalanya dan terus bertahan demi mengecapi impian. 

Namgoong-min

NAMGOONG-MIN

Siapa sangka aktor kacak, Namgoong-min sebenarnya menyimpan banyak cerita duka yang terpaksa ditelannya.

Dia mengakui mempunyai beberapa kenangan buruk sewaktu penggambaran drama fiksyen sejarah kerana lakonannya ketika itu dikatakan sangat ‘kayu’ dan tiada emosi. 

Malah, masih jelas di ingatannya apabila dipersalahkan seluruh tenaga produksi kerana merobohkan tiang lampu ketika angin bertiup kencang meskipun sudah terang-terangan perkara tersebut berlaku kerana masalah cuaca. 

Tidak hanya itu, dia sering dituduh menjadi penyebab banyak adegan gagal kerana lakonannya yang ‘mentah’ ketika itu. 

Hanya kata maaf berbutir di bibir meskipun dirinya tetap menjadi sasaran kata-kata kasar.

Tidak menyimpan dendam kendatipun sudah menjadi antara pelakon ‘papan atas’, lelaki berusia 45 tahun itu menyifatkan segala yang terjadi sebagai pengalaman hidup mendewasakan mutu lakonannya.

Yoona

YOONA

Selepas cemerlang menjadi idola pujaan ramai menerusi kumpulan Girls’ Generation, penyanyi Yoona mula berkecimpung dalam dunia lakonan.

Tidak semudah disangka, wanita tinggi lampai itu berkongsi kesulitan didepaninya sebagai pelakon baharu ketika menjalani penggambaran drama You’re My Destiny.

Ujarnya, dia sering dimarahi pengarah kerana mencampur-adukkan dialog sekali gus mengakibatkan lakonannya kurang berkesan di mata sutradara.

Lebih teruk, pengarah pernah menyuruhnya beredar dari set penggambaran kerana merasakan idola berusia 33 tahun itu belum bersedia menjadi seorang pelakon. 

Penuh tekanan bersulam air mata untuk menyelesaikan penggambaran, Yoona menganggap momen pahit itu sebagai pengalaman berharga dalam karier seninya.

Park Bo-young

PARK BO-YOUNG

Aktres Park Bo-young juga antara artis yang turut menerima layanan buruk dan dia mengakui sering dimarahi selain dicaci maki pengarah di lokasi penggambaran. 

Lebih teruk, aktres berusia 33 tahun itu turut mendedahkan bahawa kepalanya pernah dipukul dengan buku skrip oleh pengarah yang menganggap lakonannya terlalu teruk. 

Begitupun, pelakon kecil molek itu tidak mengeluh dan berputus asa sebaliknya, merasakan dirinya layak menerima layanan sedemikian kerana mutu lakonannya pada ketika itu tidak sehebat sekarang. 

Berkat usaha dan kecekalannya untuk terus membina nama, Bo-young kini menjadi antara aktres diburu dan disayangi ramai pengarah ternama. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok