Siti Nordiana hampir ‘out’, Azharina ‘tantrum’ – Ramli MS

“KALAU ada penyingkiran, memang Siti Nordiana yang akan tersingkir.”

Itu kata juri tetap All Stars Gegar Vaganza, Datuk Ramli MS mengenai persembahan penyanyi Siti Nordiana atau Nana pada pentas separuh akhir semalam.

Tidak hanya itu, Ramli yang mesra disapa Tok Ram itu turut menyifatkan persembahan Azharina Azhar sebagai satu pembaziran.

“Nyanyiannya Siti Nordiana teruk manakala saya rasa wasted (membazir)untuk Azharina kerana tidak merebut peluang.

Saya sudah minta dia turunkan key dan ketika rehearsal, dia nyanyi sangat sedap sebab itu beri giliran terakhir kerana persembahannya akan mega.

“Namun, pada malam ini (semalam), dia tiada masalah teknikal tetapi tantrum. Semua tertanya-tanya apa masalah dia malam ini.

“Tidak ada sumbang tetapi tantrum. Itu saya rasa rugi,” katanya kepada HibGlam, semalam.

Mengulas konsert akhir membariskan lapan finalis yang direkodkan sebagai jumlah peserta terbanyak dalam sejarah setakat ini, Ramli berkata itu dilakukan bagi memberi pulangan berbaloi kepada pembeli tiket.

Katanya, idea untuk membawa kesemua lapan finalis itu telah diputuskan awal bagi memastikan beberapa aspek dapat diatur dengan lancar termasuk susunan muzik orkestra dan pemilihan penyanyi duet.

“Perbincangan untuk membawa lapan peserta ke pentas final GV10 sudah dibincangkan empat minggu lalu.

Susunan muzik pun perlu dilakukan awal sebab melibatkan 50 pemain orkestra.

“Saya berpendapat keputusan ni diambil kerana memikirkan nilai kandungan. Apabila kita jual tiket, kita perlu buat pembeli rasa berbaloi sebab ini kali pertama GV jual tiket,” tuturnya.

Terdahulu, GV10 membuat kejutan apabila ‘mengangkut’ kesemua lapan peserta ke pentas akhir yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 10 Disember depan.

Pengumuman tiada penyingkiran itu sekali gus melayakkan lapan penyanyi iaitu Tomok, Nikki Palikat, Naqiu, Hady Mirza, Jaclyn Victor, Azharina dan Siti Nordiana mara ke peringkat final.

Pada malam kemuncak nanti, kesemua peserta bakal melakukan tiga tugasan iaitu persembahan solo, nyanyian duet bersama barisan penyanyi terkemuka Malaysia dan Indonesia serta ‘battle’ sesama mereka.

Antara penyanyi Indonesia yang bakal menggegarkan pentas final ialah Cakra Khan, Ifan Seventeen dan Armand Maulana dari kumpulan Gigi.

Manakala Aina Abdul, Datuk Zainal Abidin, Datuk Ramli Sarip, Datuk Jamal Abdillah dan Dayang Nurfaizah pula merupakan penyanyi ternama tanah air yang bakal berduet dengan peserta GV10.

Juara GV10 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM200,000 beserta trofi sumbangan Astro. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok