BIMBANG melihat peningkatan kes rogol melibatkan kanak-kanak membuatkan pelakon Scha Alyahya mempersiapkan dua anak perempuannya dengan memberi tunjuk ajar isu seksualiti.
Scha atau nama asalnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya menitikberatkan hal tersebut supaya mereka boleh terhindar daripada risiko berdepan individu mencurigakan.
“Saya sangat risau dengan masa depan generasi akan datang kerana tidak mudah bagi mereka.
Dengan pengaruh media sosialnya dan betapa kedepannya mereka walaupun pada usia yang muda. Jadi, sebagai ibu bapa saya kena bersedia mengajar anak-anak saya.
“Di sekolah perkara tersebut (rogol) agak sensitif untuk dibincangkan tetapi ada baiknya untuk mereka supaya lebih tahu dan berwaspada,” katanya kepada HibGlam usai pelancaran produk Glade Essences.
Menurut pelakon Awan Dania itu, sebagai ibu dia sangat tegas dalam melunaskan tanggungjawab membimbing anaknya supaya berada di landasan yang benar.
Saya dan Awal buat apa saja yang termampu. Kami nasihatkan Lara bahagian tubuh mana yang boleh pegang dan yang mana tidak.
“Begitu juga dengan dia yang tidak sesekali pegang bahagian badan sensitif orang lain.
“Pada masa sama dalam filem kita dapat lihat, ramai kanak-kanak sebaya Lara sudah sedar mengenai haid dan sebagainya. Perkara tersebut harus diberi pendedahan sebab tidak tahu apa yang dipelajari di sekolah,” katanya.
Tidak cukup dengan bimbingan, Scha turut mengawal tingkah-laku dan aktiviti seharian anaknya terutama Lara Alana yang kini sudah berusia sembilan tahun selain menerapkan akhlak baik.
Kadang-kadang tarian TikTok pun saya rasa keterlaluan untuk Lara dan melarangnya untuk berbuat demikian. Memang sangat mencabar menjadi ibu bapa pada zaman sekarang.
“Perkara paling penting adalah akhlak. Mahu kawal mereka lebih-lebih pun tidak boleh jadi kami terapkan akhlak dalam diri.
“Dengan adanya akhlak, mereka ada rasionaliti. Insya-Allah mereka kuat untuk berlawan dengan diri sendiri,” ujarnya lagi.
Scha mendirikan rumah tangga dengan selebriti serba boleh, Awal Ashaari pada 4 Mei 2012 di Hotel Pullman Lakeside, Putrajaya dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Lara Alana, 9, serta Lyla Amina, 2. – HIBGLAM