BARISAN juri tetap program All Stars Gegar Vaganza (GV10) menegaskan tiada unsur pilih kasih dalam pembahagian markah dan komen terhadap para peserta untuk musim kali ini.
Menurut ketua jurinya, Datuk Ramli MS, dia tidak pernah merasa kewujudan unsur sebegitu dalam melakukan tugasnya termasuk dua lagi juri lain iaitu Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
“I dont think so (Saya tak rasa begitu),” katanya ringkas.
Sementara Syafinaz pula berkata, mereka bertiga menjalankan tugas sebagai pemberi markah kepada peserta yang bertanding secara profesional.
“Saya rasa komen kami mungkin berlapik tetapi tiada favoritism (pilih kasih).
“Kalau favoritism, semua peserta tidak akan tersingkir sehingga konsert akhir.
“Kami semua profesional dan cakap benda yang benar berdasarkan apa yang kita nampak,” ujarnya.
Syafinaz yang juga guru vokal juga berpendapat setiap komen yang diberikan kepada para peserta lebih menjurus kepada persembahan dan tidak semua pihak memahaminya.
“Kadang-kadang benda (persembahan) itu mungkin pada anda okey.
“Contohnya saya tegur ada peserta menyanyi ‘sharp’ tetapi orang bersorak sebab mereka tidak faham perkara teknikal sebegitu. Mereka anggap satu pujian sedangkan bukan,” jelasnya ringkas.
Sejak semalam, media sosial dibanjiri dengan komen netizen yang tidak berpuas hati dengan komen dan pemarkahan diberikan juri terhadap beberapa peserta GV10 pada konsert minggu ketiga.
Antara yang disuarakan netizen dalam media sosial ialah kelayakan Jaclyn Victor mendapat markah tertinggi dan komen pedas yang diberikan terhadap persembahan serta nyanyian Azharina.
“Persembahan Jaclyn okey tetapi tidak adil untuk Liza Hanim dan Naqiu yang lebih baik.
“Kesal dengan juri, Azharina menyanyi okey cuma dia tersenyum. Ada peserta lain persembahan lebih teruk tetapi markah tinggi,” komen netizen.
Terdahulu, Azharina yang mendendangkan lagu keroncong Sayang Disayang nyanyian asal Rubiah pada konsert GV10 semalam hanya berpuas hati di kedudukan 11 dengan memperoleh markah juri sebanyak 58 peratus.
Sementara itu, Jaclyn Victor pula selesa pada kedudukan pertama dengan pungutan markah 76 peratus.
Kedudukan kedua dimiliki Liza Hanim dengan pungutan markah sebanyak 74.75 peratus sementara ditempat ketiga mejadi kepunyaan Naqiu (74.50 peratus).
Peserta di kedudukan tercorot, penyanyi Ayai Ilusi pula terselamat apabila tiada penyingkiran dibuat semalam. – HIBGLAM