222 puisi, rangkuman suka duka 5 tahun hidup saya – Dayyan Trisha

“Semua puisi yang ditulis adalah mengenai apa yang saya rasa dan lalui. Jika netizen nak buat fahaman sendiri, itu hak mereka.”

Itu respons pelakon dan  penyanyi Daiyan Trisha apabila ramai berpendapat puisi tentang kecurangan yang dikonginya baru-baru ini ada kaitan dengan aktor Aedy Ashraf.

Kata pemilik nama penuh Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 30, setiap penulisan puisinya adalah rangkuman rasa yang dilalui berkaitan kehidupannya termasuk tentang hubungan cinta dan kekecewaan dilalui sejak tahun 2018 sehingga 2022.

“Semua itu (mengaitkan nama Aedy) hanya spekulasi mereka (netizen) sendiri sedangkan buku puisi tersebut tidak dikeluarkan lagi pun,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui pada acara Viu Lokal Lah bagi mempromosikan drama W: Two Worlds kelmarin.

Daiyan juga memberitahu pelbagai pengalaman hidup dilalui sepanjang dalam tempoh lima tahun dan semua rasa tersebut hanya mampu dicurah menerusi penulisan sahaja.

“Saya beri semuanya dalam buku itu sebab hanya itu sahaja mampu buat pada waktu tersebut.

“Selain itu, saya melepaskan semua rasa dalam diri menerusi penulisan maka terhasillah sebanyak 222 puisi tersebut,” ujar pelakon drama Projek: Anchor SPM berkenaan.

Dalam pada itu, dia juga mahu setiap mesej dalam puisi-puisinya itu sampai ke jiwa setiap pembaca.

“Saya sedar bukan saya seorang sahaja yang rasa dicurangi, dilukai dan disakiti malah ramai pernah melaluinya.

“Paling utama, saya nak buku dan penulisan saya memeluk pembaca selain semua dapat kaitkannya dengan perjalanan hidup masing-masing,” katanya lagi.

Terdahulu, puisi tentang kekecewaan dan kecurangan yang dimuat naik Daiyan baru-baru ini mencetuskan teka-teki mengenai siapa jejaka yang pernah membuatkan aktres tersebut patah hati.

Disebabkan pernah digosipkan bercinta dengan Aedy, maka nama aktor itu turut dipetik oleh netizen dalam ruangan komen perkongsian tersebut.

Sebelum ini, Daiyan dan Aedy juga pernah mencetuskan tanda tanya ramai mengenai hubungan mereka apabila dilihat menyaksikan sebuah konsert di London bersama.

Daiyan dan Aedy bagaimanapun menafikan mereka menjalinkan hubungan istimewa dan sekadar bersahabat baik dalam industri yang sama. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok