Tenang ke mahkamah, Nur Fazura jinjing tas tangan mewah RM50,000

Jika pada 25 September lalu Nur Fazura menjinjing beg jenama mewah edisi terhad kulit haiwan eksotik mencecah ratusan ribu ringgit ke mahkamah, hari ini pelakon itu mengenggam juga Hermes Kelly saiz 28 yang dianggarkan berharga RM50,000.

Tas tangan rona merah jambu lembut yang senada dengan warna helaian busana dan tudung digayakan bekas isteri kepada aktor Fattah Amin itu antara yang mencuri perhatian.

Diiringi enam pengawal peribadi, pengurusnya; Iman Tang dan pasukan peguam syarie diketuai Fakhrul Azman Abu Hassan, langkah Nur Fazura tenang menuju kamar Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, pagi tadi.

Tiba di mahkamah selepas Fattah sekitar pukul 9.20 pagi, pemilik nama lengkap Nur Fazura Sharifuddin, 41, itu hanya meminta urusannya dipermudahkan.

Tepat jam 9.45 pagi, Fattah melafazkan talak satu sekali gus menamatkan ikatan perkahwinan mereka yang sudah dimeterai tujuh tahun lalu.

Kes perceraian pasangan sensasi yang mempunyai seorang anak, Nur Fatima Aisya, 4, itu menjadi sorotan ramai sebaik aktres dan penyanyi terbabit memfailkan permohonan cerai pada 13 September lalu.

Terdahulu, dikenali sebagai usahawan berjaya sejak sebelum mendirikan rumah tangga, Fazura antara selebriti yang mempunyai deretan koleksi tas tangan jenama mewah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok