Penyanyi Alvn didesak peminat meninggalkan karier nyanyian selepas percubaan dirinya menyanyikan semula lagu popular, Birds of a Feather dendangan asal Billie Eilish dikecam khalayak.
Menurut Alvn atau dahulunya dikenali sebagai Alvin Chong, 33, kritikan tersebut tidak mematahkan semangat untuk dia meneruskan minat dalam bidang nyanyian.
Katanya, setiap individu mempunyai pandangan tersendiri dan dia tidak terkesan dengan kritikan tersebut.
“Semua orang ada pendapat masing-masing. Ada yang cakap saya tidak perlu menyanyi dan fokus saja kepada lakonan. Saya terima saja apa yang mereka kata.
“Lagipun saya juga bukan penyanyi AJL (Anugerah Juara Lagu). Jadi menyanyikan lagu nada tinggi itu bukan makanan (kemahiran) saya.
“Jadi, saya pun reda saja dengan kritikan mereka. Saya pula tidak layan sangat komen mereka kerana bimbang akan memberi kesan buruk pada emosi,” katanya kepada HibGlam.
Tambah Alvn , kritikan yang diterima di gelanggang media sosial tidak menghentikan dia untuk terus aktif dalam bidang nyanyian.
“Pada saya kritikan itu satu perkara biasa yang setiap artis perlu lalui, tidak mengira pelakon atau penyanyi.
“Walaupun artis itu mempunyai rekod cemerlang dalam bidang lakonan atau nyanyian, tetapi apabila mereka buat silap sikit, terus saja dikritik.
“Tetapi setiap komen negatif itu tidak mematahkan semangat untuk meneruskan minat dalam bidang nyanyian. Saya tetap akan melakukan perkara yang saya suka,” katanya.
Sebelum ini Alvn melancarkan album studio Bahasa Inggeris bertajuk Between The Lines yang mengandungi lapan buah lagu.
Selain menghasilkan sendiri lagu nyanyiannya, Alvn turut mendapat khidmat pemuzik antarabangsa antaranya Hyuk Shin dan Seann Bowe. – HIBGLAM