‘Nak duduk tanah haram, bergantung sepenuhnya pada Allah’

Penyanyi Shahir menyimpan impian untuk berpindah dan tinggal di Madinah atau Mekah, Arab Saudi demi mendekatkan diri dengan Allah.

Menurut Shahir atau nama sebenarnya, Ahmad Shahir Zawawi, 36, dia dan isterinya, Jaskin Jaludin, 35, pernah berhijrah sekitar dua bulan lebih di Madinah pada tahun lalu.

Namun, atas beberapa faktor termasuk tahap kesihatan bapanya yang tidak mengizinkan menyebabkan Shahir terpaksa pulang semula ke tanah air.

“Kami sudah berpindah dan ada rumah di sana. Ketika itu saya berulang-alik antara Madinah dan Malaysia selama dua bulan.

“Memang sudah lama saya bercita-cita untuk tinggal di sana. Bukan sebab ingin buka bisnes tetapi saya memang hendak tinggal di tanah haram.

“Tetapi kalau sudah tinggal di sana saya perlu berniaga untuk menyara kehidupan, tidak mungkin mahu duduk saja tanpa buat apa-apa,” ujar Shahir yang ditemui pada majlis pelancaran lagu terbaharunya, Aksara sebentar tadi.

Tambah Shahir pada usia yang semakin matang, misinya kini bukan untuk duniawi tetapi mahu mengutamakan perjalanan rohani.

“Saya masih menyimpan hasrat untuk tinggal di sana pada masa depan. Bukan hendak kata saya baik, tetapi saya mahu cuci hati.

“Dalam kehidupan ini kadang-kadang kita terlampau bergantung harap pada orang. Sebab itu semasa pindah di sana, saya langsung tidak membuat sebarang perancangan.

“Saya hendak bergantung sepenuhnya pada Allah. Tetapi kita manusia, perancangan Allah itu lebih baik. Bukan sekarang mungkin pada masa depan,” kata Shahir.

Dalam pada itu, juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) itu kembali aktif dalam dunia seni apabila bernaung di bawah World Peace Entertainment.

Mempertaruhkan lagu Aksara sempena kemunculan semulanya dalam industri seni, single terbaharu Shahir itu turut mendapat sentuhan komposer terkenal, Omar K dan Iqie Hugh.

Bahkan Shahir yang selama ini cukup menjaga privasi dirinya membuat kejutan apabila video muziknya lagu Aksara turut dibintangi isterinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok