Dr. Jezamine enggan ulas punca cerai dengan Harith Iskander

Tampil bersuara, bekas isteri kepada pelawak, Harith Iskander iaitu Dr. Jezamine Lim enggan mengulas mengenai punca perceraian mereka yang menjadi bualan ramai baru-baru ini.

Menurut Jezamine, orang ramai tidak seharusnya mencari punca perceraiannya sehingga tercetus dakwaan rumah tangganya musnah disebabkan Harith Iskander berlaku curang.

“Harith sudah maklumkan dia sudah buat kesilapan dan kita patut menghormatinya sebab tak mudah untuk seseorang mengeluarkan kenyataan sebegitu, jadi walau apa pun sebabnya, semua itu bukanlah satu masalah.

“Apa yang penting kami memaafkan antara satu sama lain dan teruskan kehidupan kerana kami berjanji untuk lebih berjaya bersama,” katanya kepada Kosmo! Online selepas prosiding perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Jezamine bagaimanapun tidak menafikan turut bersedih apabila rumah tangganya berakhir dengan perpisahan.

“Sudah tentu saya sedih tapi saya rasa ini adalah permulaan baharu.

“Sebenarnya semua saya sudah kongsi dalam video sebelum ini. Kini, hubungan kami adalah yang sangat baik, masih bekerja bersama dan menguruskan bisnes bersama.

“Kami memang kawan baik dan saya masih pengurusnya. Sehingga hari ini bila saya ‘struggle’ saya masih menghubungi dia dan dia masih orang saya hubungi bercerita mengenai hari saya.

Ditanya mengenai sikapnya yang kelihatan reda berhadapan dengan episod perceraian, Jezamine berkata, dia sememangnya seorang yang tenang.

“Ini adalah personaliti saya tetapi selalu percaya kita sebagai wanita perlu berdiri atas kaki sendiri dan berdikari.

“Ini adalah satu-satunya nasihat yang saya boleh berikan kepada wanita di luar sana,” katanya lagi.

Hari ini, Harith dan Jezamine sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.

Harith atau nama penuhnya Harith Iskander Musa, 57, melafazkan cerai talak satu pada pukul 12.05 tengah hari di hadapan Hakim Syarie Siti Noraini Mohd Ali selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Jezamine pada 24 Jun lalu.

Untuk rekod Harith dan Jezamine, 41, mendirikan rumah tangga pada 12 Jun 2010.

Pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Zander Xayne, 14, Alessandra Jayne, 11, dan Zydane Zayne, yang berusia 9 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok