Selepas melalui pelbagai episod hitam sejak tahun lalu, pelakon Bella Astillah berangkat menunaikan ibadah umrah hari ini.
Mahu mencari titik ketenangan, Bella atau nama penuhnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, memohon orang ramai mendoakan perjalanannya ke Tanah Suci dan meminta maaf sekiranya pernah melakukan sebarang kesalahan sebelum ini.
Bella akan berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah, insya-Allah.
“Saya mohon maaf seikhlas hati dari hujung rambut hingga ke hujung kaki kepada semua seandainya ada kesalahan baik disengaja mahupun tidak disengaja.
“Mohon doa agar ibadah ini dapat terlaksana dengan baik dan diterima oleh Allah SWT,” katanya dalam Instagram.
Dalam masa sama, dia juga mendoakan agar individu lain dapat merasai perkara sama satu hari nanti.
“Semoga semua yang membaca ini juga beroleh rezeki untuk mengerjakan ibadah umrah kelak, insya-Allah,” katanya lagi.
Menerusi video yang dikongsi adiknya, Didi Astillah, Bella dilihat menangis ketika memeluk ibunya, Siti Zarina Astillah sebelum memasuki pintu pelepasan di lapangan terbang.
Bella yang sopan memakai jubah dan tudung labuh berwarna sedondon itu dilihat tidak ditemani ahli keluarga.
Difahamkan, ini bukan kali pertama pelakon drama Aku Tanpa Cintamu itu menunaikan umrah.
Sebelum ini dia pernah menunaikan umrah Bersama bekas suami yang juga penyanyi, Aliff Aziz sekitar tahun 2022 dan turut disertai ibu dan bapa Bella.
Sekadar info, Bella yang kini masih dalam tempoh idah disahkan bercerai talak satu dengan Aliff di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 13 Jun lalu selepas melalui pelbagai episod hitam dalam rumah tangganya. – HIBGLAM