TIADA drama baharu sebab suami manjakan saya dan minta berehat di rumah buat masa ini.”
Itu yang dikongsi pelakon, Datin Intan Najuwa apabila ditanya mengenai aktiviti seni dan naskhah terbaharu lakonannya ketika ini.
Menurut pemilik nama penuh Intan Najuwa Abdul Wahid, 26, permintaan tersebut dibuat oleh suaminya, Datuk Ahmad Azraf Azman kerana mahu meluangkan lebih banyak masa bersama di rumah.
Malangnya, saya tidak akan membuat sebarang penggambaran tahun ini kerana suami meminta saya untuk berehat sekejap.
“Suami sangat memanjakan saya dan meminta berehat di rumah sahaja. Nampaknya dia seronok bersama sepanjang masa,” katanya dalam InstaStory hari ini.
Tambah bintang drama Racun Rihanna itu, selain keluarga, tumpuannya kini lebih terarah kepada bisnes yang dijalankannya termasuk produk penjagaan rambut.
Buat masa ini, saya menumpukan perhatian pada perniagaan dan perkahwinan saya.
“Saya bekerja tanpa henti ketika masih bujang, kini bersyukur akhirnya berpeluang untuk berehat serta menghargai setiap saat bersama suami dan keluarga.
“Rutin harian saya kini hanya tidur, memasak, makan, melakukan Pilates, minum kopi dan membeli-belah.
Hidup yang sangat produktif,” selorohnya.
Terdahulu, Intan idan Azraf diijabkabulkan pada 18 Ogos 2023 dalam majlis yang berlangsung di sebuah pusat peranginan mewah di Desaru, Johor.
Sejak mendirikan rumah tangga, kehidupannya sebagai seorang isteri kerap mencuri tumpuan ramai kerana dimanjakan dengan kehidupan dan barangan mewah oleh suami tercinta. – HIBGLAM