SEMPENA ulang tahun kelahiran yang ke-23, ibu kepada pelakon Meerqeen, Suraida Yacob menitipkan ucapan istimewa buat putera sulung kesayangannya itu.
Luah Suraida, dia bersyukur dikurniakan anak seperti Meerqeen yang sangat baik serta taat kepada ibu bapa.
Hari paling sakit yang mama rasa, tak pernah mama rasa sesakit itu seumur hidup mama.
“Sakit nak keluarkan seorang budak kenit yang akhirnya diberi nama Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam. Harapnya itulah sakit yang terakhir abang bagi mama.
Alhamdulillah sakit mama tu sakit yang berbaloi sehingga saat ini. Alhamdulillah Allah bagi abang pada mama dan ayah. Syukur yang teramat sangat,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Ibu kepada empat cahaya mata itu juga mengimbau kembali momen yang tidak dapat dilupakan sepanjang pelakon drama Melur Untuk Firdaus tersebut membesar.
“Melihat tawanya, melihat tangisnya, melihat susahnya, melihat peritnya melalui sakitnya, merasai dukanya dan mama akan sentiasa ada dalam setiap jatuh bangun abang. Setiap perjalanan abang, mama doakan yang terbaik.
“Budak bertuah ini bawa warna dalam keluarga, itu yang buat rumah mama tak pernah sunyi. Kalau dia kerja lama, dua tiga hari tak jumpa pun rasa rindu sangat dekat dia.
Tengok dia tidur pun dah buat mama gembira. Anak ini yang tak berubah adalah cara tidur mereka. Kalau tengok dia tidur memang ingat anak aku ni umur 10 tahun. Cepat betul besar, tahu-tahu masuk universiti, tahu-tahu dah kerja. Esok-esok tahu-tahu mama ayah dah tak ada,” katanya.
Adik-beradik kepada pelakon Safura Yacob itu turut menitipkan nasihat buat Meerqeen agar tidak lupa menjalankan tanggungjawab sebagai anak selain mendoakan kesejahteraannya.
Doakan mama dan ayah selalu. Awak tu anak sulung, jaga adik-adik semua dan jalankan tanggungjawab elok-elok.
“Sebesar mana pun abang, setua mana pun abang, sehebat mana pun abang, serendah mana pun abang, awak sentiasa dalam doa mama. Sebab doa mama untuk abang sampai akhirat nanti. Semoga kita dapat berkumpul semula di akhirat!
“Mama sayang awak! Ingat pesan mama, biarlah sakit bersalin tu jadi sakit yang paling sakit abang bagi mama, tiada lagi kesakitan lain,” tutupnya.
Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa terharu membaca nukilan istimewa ibu Meerqeen itu dan mendoakan agar hubungan mereka anak beranak sentiasa dipelihara Allah. – HIBGLAM