Saya tak lari, jangan fitnah – Safee Sali

MEMINTA bekas isteri tidak menggunakan media sosial sebagai medan berkongsi hal keluarga, personaliti sukan Safee Sali memilih menyelesaikan sebarang isu di mahkamah.

Kata bekas pemain bola sepak kebangsaan juga penyampai radio Era itu, lebih baik menggunakan saluran yang betul bagi merungkai setiap permasalahan secara berhemah.

Kita ada meja perundangan yang membolehkan setiap perkara dikemukakan di depan hakim serta saksi dengan cara baik.

“Saya tak boleh komen panjang kerana saya hanya dapat mengawal diri sendiri, saya tak boleh kawal orang luar dan tak mampu berbuat apa-apa.

Cuma kena faham, kita kena ikut proses undang-undang dan prosedur yang ditetapkan,” katanya selepas majlis Tayangan Program Raya Astro, baru-baru ini.

Mengenai permintaan bekas isteri iaitu Fitria Elfina Maharip ingin bertemu anak mereka yang berada di bawah jagaannya, kata Safee, perkara tersebut boleh diperincikan bersama-sama.

Menurutnya, dia bersedia mengadakan perbincangan mengenai kebajikan dua puteri mereka, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Syawal.

Proses sulh boleh diadakan pada bila-bila masa, saya tak lari dan ada di Lembah Klang. Jadi tak perlu timbulkan fitnah, apa-apa hal boleh berurusan dengan peguam.

“Sebagai bapa kandung dan hakiki, saya bertanggungjawab melindungi anak-anak. Paling penting sekarang adalah menjaga emosi mereka.

Saya lebih utamakan keselamatan anak-anak saya dan pastikan pendidikan mereka terjamin,” ujarnya.

Pengendali segmen Super Safee Era itu turut mengakui kini hatinya lebih tenang selain enggan memberi komen berkenaan pernikahan kali ketiganya.

Saya doakan agar kita semua diampunkan segala dosa, dibukakan pintu hidayah, dapat mengumpul segala pahala dan fokus di bulan Ramadan.

“Hal itu (kahwin) privasi. Saya tak mahu kongsi kerana isteri saya tidak terlibat, kita fokus dulu soal hak penjagaan dan kes mahkamah yang sedang berjalan.

Apa yang berlaku adalah ujian buat saya dan setiap dugaan adalah peringatan serta jentikkan hati agar kita ingat Dia, bukan bergantung kepada manusia,” katanya.

Safee bernikah dengan Fitria Elfina yang merupakan warga Indonesia pada 21 Disember 2013 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan.

Sebelum itu, dia juga pernah mendirikan rumah tangga berkahwin dengan Sabarina Yusof pada 2007 sebelum berpisah pada 2 April 2012. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok