EMPAT tahun kemelut antara balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah dan bekas adik iparnya, Ali Puteh yang tidak berkesudahan, pelawak Achey berharap konflik tersebut diselesaikan segera demi ketenangan arwah.
Kata Achey atau nama lengkapnya Mohd Nasir Hamzah, 38, dia enggan anak kepada arwah iaitu Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey membesar dalam suasana toksik apabila ahli keluarga saling membenci.
Kita dah nak menjelang raya ni, pada saya sudah-sudahlah, sebab anak-anak pun sudah mula faham kerana mereka makin membesar.
“Kita tidak mahu anak-anak faham apa itu sifat benci, kalau boleh wujudkanlah perkara positif sebab pada akhirnya mereka adalah darah daging juga. Selesaikanlah elok-elok.
“Kita dengar isu ni pun penat, apatah lagi arwah yang sudah pergi. Pesanan saya pada Ali dan Dayah, kalau sayangkan arwah, selesaikan cara baik secepat mungkin,” katanya kepada HibGlam.
Ditanya adakah percubaan berbincang dengan kedua belah pihak, pelantun lagu Sakit itu mengangguk kepala tetapi memilih untuk tidak masuk campur setelah usaha terbabit seolah-olah tidak memberikan sebarang kesan.
Memang saya dan Fad cuba berbincang dengan mereka tetapi tidak berjaya dan kami angkat kaki sehingga isu ini selesai. Kita tidak mahu ada rasa tidak seronok dan menyulitkan lagi keadaan.
“Bukan berdiam diri, hanya mendoakan dari jauh, untuk melawat dan bantu memang kita tunggu semuanya selesai meski lama macam mana pun. Lagipun saya dengan Fad orang luar, siapa kami untuk campur tangan.
Sebab itu ramai tanya kenapa tidak tolong mereka, saya hanya dapat beritahu bahawa itu hal keluarga, kami hanyalah adik beradik dalam industri, jauh sekali nak masuk campur,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Asnaf, semalam.
Kontroversi mula tercetus selepas Nor Hidayah memfailkan saman terhadap Ali sekeluarga dengan jumlah terkumpul mencecah RM900,000.
Saman-menyaman antara mereka turut melibatkan isu harta peninggalan Allahyarham yang ketika itu masih kabur menjadi hak mana-mana pihak.
Saman yang difailkan Nor Hidayah antara lain menuduh Ali mengambil harta Abam Bocey dan harta anak yatim, selain tuntutan faraid, hak penjagaan anak dan tuntutan kereta. – HIBGLAM