PELAKON dan pengacara Irma Hasmie, 42, tetap mengunci mulut daripada memberikan reaksi terhadap dakwaan mengatakan rumah tangganya bersama suaminya, Redza Syah Azmeer sudah berakhir.
Pemilik nama penuh Irma Hasmie Ibrahim, 42, berkata, pihak luar tidak wajar membuat sebarang andaian apatah lagi membabitkan hal peribadi pihak lain hanya bersandarkan persepsi berkaitan dalam media sosial.
Saya minta maaf sebab kalau boleh tak nak komen langsung mengenai perkara itu. Saya pilih untuk tidak terlalu berkongsi mengenai hal peribadi. Saya pilih sebegitu, jadi saya minta maaf.
“Kita mudah untuk menilai, jadi saya harapkan apa sahaja perkongsian dibuat jangan dikaitkan dengan apa sahaja perkara yang tercetus di fikiran.
Kalau orang berfikir mengenai itu, sebenarnya tidak, sebab saya tak sebutkan pun secara terus terang. Mungkin hantaran tersebut saya cakap mengenai hal lain.
“Saya hanya berkongsi, jangan menilai apa-apa dan baik-baik saja sekarang,” katanya ditemui pada majlis pengiktirafan Ratu Rock Negara, Ella dengan kerjasama Skyhill Clinic, hari ini.
Ibu kepada dua cahaya mata berkata, dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan dengan memberikan persepsi negatif andai bersuara.
Saya tak nak komen apa-apa sebab nanti akan menimbulkan lagi tanggapan lain daripada orang ramai.
“Daripada orang tak bercerita, akan jadi buah mulut serta mencetuskan banyak perkara lain pula,” ujarnya lagi.
Mengenai komen negatif yang diterima, Erma enggan ambil peduli, selain menegaskan akan lebih berhati-hati dalam membuat sebarang hantaran di media sosial selepas ini.
“Saya akan ambil saranan yang baik sahaja, tapi kena jaga sebab yang nak jalani kehidupan ini adalah diri kita sendiri.
Kenapa nak ambil peduli apa orang kata sebab yang menentukan kehidupan kita adalah Tuhan. Jangan terlalu ambil kira apa orang kata.
“Selepas ini, saya akan berhati-hati dan berfikir dulu sebelum memuat naik sebarang hantaran sebab impak bakal diterima tidak boleh dijangka,” katanya.
Terdahulu, nama pelakon dan pengacara menjadi bualan ramai susulan perkongsian dalam Instagram (IG) miliknya yang seakan-akan memberi bayangan mengenai kemelut rumah tangganya.
Dalam perkongsian itu, Irma berkongsi petikan berkenaan pesanan untuk golongan suami mengingatkan tentang pengorbanan isteri dalam sesebuah perkahwinan.
Irma dan Redza mendirikan rumah tangga pada 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata. – HIBGLAM