AKTRES Uqasha Senrose berang apabila namanya sekali lagi dikaitkan sebagai punca kematian wanita yang pernah mendakwa dibulinya pada zaman persekolahan dahulu.
Tampil bersuara mempertahankan diri, pemilik nama penuh Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu berkata, tuduhan tersebut tidak sepatutnya dilemparkan sewenang-wenangnya terhadapnya.
Tiba-tiba semalam saya dapat tahu wanita itu sudah meninggal dunia dan tak sempat kami nak bertemu untuk bersemuka.
“Ketika saya cuba memaafkan dan reda dengan berita kematian, muncul pula kawannya yang mengaitkan saya seperti mendakwa punca kematian wanita itu.
Jadi, mengapa saya perlu berdiam diri ketika dia melemparkan tuduhan sebegitu rupa?” katanya dalam TikTok hari ini.
Dalam masa sama, isteri kepada aktor Kamal Adli itu meminta orang ramai tidak menjatuhkan hukuman sesuka hati tanpa mengetahui cerita yang sebenar.
“Saya menangis bukan sebab sedih tetapi sakit hati, kalau ada salah saya, beritahu secara bersemuka.
“Media sosial bukan medium untuk buka aib sesiapa. Kalau tidak melibatkan anda, jaga kata-kata dan jangan masuk campur. Kawan dia baru meninggal dunia, cakaplah benda elok-elok.
“Mengapa muat naik perkongsian begitu? Siap petik nama saya sekali? Boleh bersemuka, cari jalan untuk jumpa saya,” katanya dalam nada kecewa.
Dalam masa sama, Uqasha memberitahu dirinya tidak sepatutnya dituduh menjadi punca kematian wanita tersebut sehingga dikatakan akan menjawab dosa tersebut di Padang Mahsyar.
Rakan wanita itu mendakwa saya mesti gembira dengan berita kematian tersebut dan perlu menanggungnya di Padang Mahsyar nanti.
“Siapa dia untuk berkata sedemikian dan menuduh saya?
“Kenapa nama saya pula dituduh sebagai punca kematian sedangkan tidak tahu langsung mengenainya.
“Jika saya puncanya, kenapa baru sekarang dan bukan 15 tahun dulu? Hanya kerana saya artis dan dikenali, tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh saya,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Uqasha, 31, berdepan dengan tragedi suaminya Kamal Adli dipukul seorang lelaki sehingga cedera teruk di kepala selepas mereka menghadiri suatu acara di Singapura.
Ada yang mendakwa kejadian yang menimpa itu sebagai kifarah kerana pernah membuli wanita berkenaan ketika di zaman persekolahan.
Tidak berdiam diri, Uqasha membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu tersebut yang kemudiannya meminta maaf secara terbuka dalam media sosial.
Namun, beberapa hari lalu, namanya sekali lagi tular dalam media sosial apabila muncul individu yang merupakan rakan wanita tersebut memuat naik perkongsian seolah-olah menyalahkan Uqasha di atas kematian sahabatnya itu.
Menurut wanita itu, rakannya meninggal dunia beberapa hari lalu akibat penyakit lupus. – HIBGLAM