SUSULAN membantu pempengaruh Indonesia, Mondy Tattoo menangani kes gangguan seksual, penyanyi rap Caprice mendedahkan menerima pelbagai ugutan.
Katanya, perkara yang dirisaukan bukan keselamatan diri, sebaliknya kesejahteraan ahli keluarga wanita tersebut yang berada di Jakarta apabila difahamkan turut berdepan ancaman.
Sebenarnya kami ada menerima ugutan, namun impak isu ini lebih dirasai keluarga Mondy di Indonesia.
“Saya dimaklumkan suaminya dibelasah sekumpulan lelaki tidak dikenali. Mungkin situasi itu mempunyai kaitan dengan isu yang sedang dilaluinya sekarang.
Sejak kes ini tular, saya ada tanyakan pada Mondy sama ada perlu membawa anak dan suaminya ke sini, terutama selepas insiden suaminya dipukul, tetapi dia lebih percaya mereka terus di sana bersama keluarga terdekat.
“Buat masa ini, Mondy perlu tinggal di Malaysia kerana kami bimbangkan keselamatannya. Selagi kes ini belum selesai, lebih baik dia jangan balik dulu ke sana,” katanya.
Pempengaruh media sosial yang terkenal dalam aplikasi TikTok itu semakin meraih perhatian selepas membuat pengakuan berdepan gangguan seksual daripada pendakwah Ustaz Ebit Lew ketika dibawa ke Kuala Lumpur sekitar Jun lalu.
Susulan itu, Caprice atau Ariz Ramli, 35, cuba membantu memperjuangkan nasibnya dengan mengajukan laporan polis terhadap personaliti yang sinonim membuat kerja kebajikan.
Begitupun, semalam Caprice, Mondy dan beberapa staf syarikat usahawan terbabit dipanggil memberikan keterangan bagi membantu siasatan atas laporan polis yang dikemukakan Ebit Lew. – HIBGLAM