Dituduh reka cerita Mondy, Caprice serah bukti pada polis

PENYANYI dan aktivis, Caprice membuat laporan polis sebelum merakam sesi wawancara audio siar (podcast) bersama pensohor Indonesia, Mondy Tattoo yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang individu popular.

Pemilik nama sebenar Ariz Ramli itu berkata, pihaknya turut menghantar wanita itu menjalani penilaian psikiatrik selain mendapat keizinan sebelum merakam perbualan dengan pasukan lelaki berperwatakan alim itu.

Saya akui ramai menuduh saya bayar atau reka cerita bersama Mondy (tapi) kali ini kita bijak sikit.

“Sebelum keluarkan podcast, kami sudah buat laporan polis, penilaian pakar psikiatri Mondy di hospital.

“Dengan izin mangsa, kami juga rakam semua perbualannya dengan pasukan lelaki yang didakwa melakukan gangguan tahun ini.

Sebelum ini kita DM (direct message) dan jemput Mondy (datang) pada minggu lepas,” kongsinya menerusi hantaran dalam Instagram miliknya, hari ini.

Caprice membuat penjelasan itu sebagai menjawab tuduhan netizen yang mendakwa dia sengaja mengadakan cerita tanpa bukti kukuh atas alasan ingin menjatuhkan reputasi baik individu berkenaan.

Caprice juga tidak ketinggalan berkongsi perbualan WhatsApp Mondy bersama seorang lelaki dipercayai orang kepercayaan sebagai rujukan kepada pendedahan Mondy dalam podcast yang disiarkan menerusi saluran YouTube miliknya, malam tadi.

Caprice memberitahu pihaknya juga mempunyai bukti lain namun kesemuanya sudah diserahkan kepada pihak berkuasa bagi siasatan lanjut.

Pasukan kami ada beberapa bahan bukti lain dan sudah serah semua kepada pihak polis sebelum keluarkan episod satu podcast” jelasnya.

Dalam hantaran sama, usahawan berusia 35 tahun itu memaklumkan, pendedahan dilakukan bukan untuk merosakkan lelaki berkenaan sebaliknya demi membantu mangsa lain agar tampil bersuara.

Kita tak ada masa nak jatuhkan sesiapa, hanya nak guna platform kita sekarang untuk bantu mangsa bersuara dan kongsi. Insya-Allah satu hari nanti, keadilan di pihak mangsa.

Malam tadi melalui saluran YouTube Caprice Original Films, Mondy yang pernah dibawa ke negara ini oleh seorang penceramah bebas tampil membuat pendedahkan berkenaan cubaan gangguan seksual dihadapinya.

Menerusi video bersama Caprice, ibu tunggal anak satu itu mendakwa kejadian tidak menyenangkan berlaku bermula hari pertama dia tiba di Malaysia, pada Jun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok