Dah selesai secara baik dengan Mimi – Syafiq Kyle

PELAKON Syafiq Kyle memilih pendekatan untuk tidak memberi sebarang penjelasan berhubung konflik hubungannya dengan aktres, Mimi Lana rentetan pernikahan mereka dibatalkan pada saat akhir, Ogos lalu.

Menurut Syafiq atau nama penuhnya Mohd Syafiq Shamim, 31, isu tersebut sudah diselesaikan secara baik dengan pihak Mimi sebelum ini.

“Saya ambil maklum dengan isu dan mengambil pendekatan untuk tidak lagi mengulas mengenai isu ini sebab melibatkan banyak pihak.

“Pendekatan ini bagi menghormati kedua-dua belah pihak iaitu saya dan Mimi secara baik antara kami. Inilah jawapan saya,” katanya kepada HibGlam selepas sidang media filem Doh di sini hari ini.

Mengulas mengenai hubungannya dengan Mimi atau nama penuhnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin, Syafiq menjelaskan mereka kini saling memberi ruang antara satu sama lain buat masa sekarang.

“Buat masa sekarang, saya ambil pendekatan untuk memberi masa masing-masing.

“Kami juga memilih untuk fokus kepada keluarga dan kerja,” jawabnya ringkas.

Berkongsi lanjut, Doh merupakan hasil arahan dua pengarah iaitu Ariff Zulkarnain dan Haris M. Nor.

Selain Syafiq, Doh yang ditayangkan menerusi aplikasi Tonton turut dibarisi Sherlyn Seo, Aida Amron, Fariz Isqandar dan Fabian Loo.

Pada 11 Ogos lalu, Mimi yang merupakan pelakon filem Pusaka mengejutkan ramai apabila membatalkan majlis perkahwinan mereka yang sepatutnya berlangsung pada 18 Ogos ini.

Mimi bagaimanapun tidak berkongsi sebarang penjelasan lanjut mengenai pembatalan perkahwinan mereka.

Terdahulu, pasangan ini juga pernah putus cinta pada Mei 2020 selepas lima tahun bersama namun hubungan mereka kembali bertaut apabila berkongsi foto dalam media sosial. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok