Bukan kemenangan saya tapi kita – Aepul Roza 

“SAYA tak mahu asyik pegang trofi, selain berat, risau orang cakap riak pula.”

Itu antara ayat yang meniti di bibir juara sulung The Hardest Singing Show (THSS) musim pertama, Aepul Roza selepas berakhir konsert final program tersebut Ahad lalu.

Meletakkan trofi berwarna emas itu di sisinya, Aepul menzahirkan rasa bangga terhadap kemampuan diri dan seluruh pasukannya yang mampu bertahan sehingga ke pentas final.

Mengimbau semula persembahan pada Ahad lalu, hanya Aepul yang mendapat ‘standing ovation’ daripada para penonton selepas membuat kejutan dengan bermain dram dalam keadaan condong 90 darjah. Bikin darah tinggi penonton meledak!

Namun, itulah elemen ‘wow’ yang melayakkan Aepul bergelar juara sekali gus menewaskan lima peserta lain iaitu Ayda Jebat, Stacy, Aisha Retno, Putera Muhammad dan Zizi Kirana.

Hilang kata-kata untuk menggambarkan perasaan, Aepul memberitahu kejuaraan tersebut bukan secara solo tetapi untuk ‘kita’ iaitu pasukannya yang sudah berhempas pulas selama 10 minggu memerah otak mendapatkan idea ‘gila’ untuk dipersembahkan kepada penonton.

“Alhamdulillah ini rezeki yang Allah beri. Saya faham bahawa kemenangan tersebut hadir dengan tanggungjawab sebenarnya.

“Kalau ditanya sejuta kali pun, kejayaan ini bukan datang daripada saya sahaja tetapi seluruh pasukan. Saya hanya sebagai pelaku tetapi mereka yang merancang dan merealisasikannya.

“Jadi, ini adalah kemenangan untuk ‘kita’, bukan saya seorang,” kata pemilik nama penuh Noor Syaiful Mohd Zalaludin kepada HibGlam baru-baru ini.

AKSI mengagumkan Aepul bermain dram dengan pentas condong 90 darjah membuatkan penonton dan juri kaget.

Paling mencuri perhatian pastinya ketika memberitahu tidak pernah bertuah atau bergelar juara dalam mana-mana pertandingan yang disertai sebelum ini waima cabutan bertuah sekali pun.

Kedengaran lucu bagi segelintir individu tetapi kejuaraan tersebut sememangnya mengubah persepsi Aepul tentang definisi ‘tuah’ selain membuka mata lebih banyak pihak tentang kehebatannya sebagai seorang penghibur.

“Terima kasih kepada Astro sebab beri ruang dan peluang ini. Saya rasa ‘culture shock’ (kejutan budaya).

“Manakan tidak, menang cabutan bertuah pun saya tak pernah apatah lagi bergelar juara pertandingan sebesar ini. Apa pun

Alhamdulillah rezeki Tuhan,” tuturnya yang membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 dan trofi.

TURUT tidak terlepas daripada mengalami kecederaan, Aepul memberitahu setiap persembahan dan aksi dilakukan memberi banyak tekanan pada bahagian kaki.

Ditanya sama ada kemenangan tersebut sudah dijangka, vokalis kumpulan Drama Band itu tidak pernah ‘berangan’

meletakkan dirinya di posisi tersebut sebaliknya hanya memberi persembahan sehabis baik termasuk pada konsert final lalu.

“Jangka atau tidak, perkara itu bukan lagi dalam kepala saya ketika ini tetapi lebih kepada reda.

“Kalau bukan juara sekali pun, saya sudah puas. Sebab semua layak jadi juara, kehebatan peserta lain memang tiada tandingan,” katanya yang berpendapat Ayda Jebat juga layak bergelar juara.

JIKA bukan dirinya, Aepul menjangkakan posisi juara layak diisi oleh Ayda yang memberi persembahan ‘grand’ setiap minggu.

Tidak terkecuali daripada mengalami kecederaan, dia berkata itu perkara normal yang dilalui semua peserta bertanding.

“Kalau nak cakap pasal sakit atau cedera, semua peserta alami situasi sama tetapi itu bukan penghalang untuk terus berjuang.

“Sakit belakang masih belum hilang sejak minggu pertama. Lutut saya juga pernah ‘dislocate’ ketika aksi bersilat untuk persembahan lagu Mentera Semerah Padi.

“Sepanjang pertandingan, memang banyak beri tekanan pada bahagian kaki. Sekarang ini pun buku lali sakit di tambah pula pernah cedera sebelum ini sebab bersukan,” kongsinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok