Aura hero Jack Tan, hidup kidal demi watak

KEHADIRAN Jack Tan di gelanggang perfileman Melayu mula mencuri perhatian selepas membintangi Air Force The Movie: Selagi Bernyawa pada 2022.

Aura heronya membiakkan pengaruh besar apabila naskhah Abang Adik berjaya meraih tiga anugerah utama pada Far East Film Festival ke-25 di Udine, Itali Mei lalu.

Meskipun begitu, Jack, 33, tidak ingin mendabik dada apatah lagi berasakan dirinya sudah terlalu bagus sehingga hanya membintangi karya bertaraf kelas A sahaja.

JACK TAN berganding dengan Farid Kamil yang melakonkan watak Rashid Sidek iaitu jurulatihnya yang membawa peranan Cheah Liek Ho dalam filem Gold.

Jack sebaliknya lebih mementingkan kualiti dan tidak pernah meletakkan sebarang harapan sama ada watak lakonannya mampu menjulang nama atau meraih trofi.

“Bagi saya kesungguhan itu penting kerana tidak mengira apa sahaja yang kita lakukan, kesungguhan akan membawa kepada kejayaaan.

“Secara peribadi saya tidak pernah mengharapkan watak yang dibawa akan memberi kelebihan sehingga mampu menang anugerah. Sekiranya ada itu pada saya rezeki dan ‘habuan’ setelah berusaha keras.

“Paling penting saya suka dengan jalan cerita naskhah tersebut dan saya akan berusaha sehabis baik menterjemahkan karakter dengan baik dan tidak mengecewakan pengarah,” katanya tersenyum. 

Menang ‘Gold’ 

Begitu juga saat diberi kepercayaan membintangi filem Gold terbitan Astro Show yang bakal menemui penonton pada 11 Julai ini. 

Gold secara asasnya mengisahkan  kesungguhan atlet paralimpik badminton, Cheah Liek Hou yang mampu menjulang pingat emas di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Sebelum berjaya membawa pulang pingat emas, Cheah Liek Hou sebelum itu terkenal sebagai atlet remaja yang dijangka mempunyai masa depan cemerlang kerana terkenal dengan kemahiran dan kemampuan luar biasa bermain badminton.

Namun, siapa menduga apabila dia mengalami Erb’s palsy atau Erb-Duchenne palsy yang merupakan kelumpuhan pada tangan akibat kecederaan saraf sehingga membataskan kemampuannya bermain badminton secara profesional.

Bagi Jack, permainan emosi Cheah Liek Hou yang mengalami masalah kesihatan secara tidak langsung memberikan cabaran,

Masakan tidak, Jack perlu menterjemah kekecewaan individu normal menjadi orang kelainan upaya (OKU) dalam meneruskan kecintaan dalam keadaan terbatas.

BERMAIN badminton dengan menggunakan tangan kiri menjadi cabaran buat Jack Tan membawakan watak sebagai atlet paralimpik negara, Cheah Liek Hou.

Dia memang sangat meminati badminton dan tentu sahaja masalah kesihatan memberi kesan kepadanya.

“Kekecewaan yang dipendam itu saya perlu tonjolkan dengan baik kerana bagi saya Cheah Liek Hou seorang tidak mudah berputus asa. Meskipun tidak mampu menjadikan sukan badminton sebagai sumber pendapatan, tetapi dia tetap mempunyai cara lain untuk menyara keluarga.

“Semangat itu juga yang mendorong dirinya untuk tidak mengalah dan bermain badminton meskipun perlu bermain menggunakan tangan kiri yang mana dia bukan seorang kidal,” katanya semangat.

Mengulas mengenai bermain badminton dengan tangan kiri, Tan mengakui hal itu turut menjadi cabaran buatnya kerana dia sendiri bukan seorang yang dominan menggunakan tangan kiri.

Tan mengakui pada peringkat awal latihan, dia sering kali gagal membuat sebarang pukulan dan perkara itu secara tidak langsung memberikan sedikit tekanan padanya.

“Latihan badminton dibuat selama tiga bulan dan saya pula berlatih enam hari seminggu. Bagi saya cabarannya apabila perlu kelihatan profesional dengan hanya tiga bulan latihan.

“Tentu sahaja perkara itu bukan satu hal mudah kerana saya juga tidak pandai bermain badminton dan bukan menggunakan tangan kiri. 

“Memang agak mencabar, tetapi setelah mendapat nasihat dan galakan daripada jurulatih (bekas pemain kebangsaan, Adelle Ng), saya kini boleh bermain badminton dengan menggunakan kedua-dua belah tangan,” katanya sambil berseloroh.

Diinspirasikan daripada kisah benar filem arahan Adrian Teh tersebut turut membariskan pelakon handalan lain seperti Farid Kamil, Fabian Loo, Wan Raja dan Yasmin Hani.

Baca artikel penuh di www.hibglam.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! secara fizikal di kedai-kedai berdekatan.
Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok