FULL House! Itu bukti keunggulan band rock otai, Wings apabila mampu memenuhkan Stadium Malawati Shah Alam dengan kehadiran 9,000 peminat pada konsert Wings The Rock Emperor – Kuala Lumpur Chapter, Ahad lalu.
Hujan lebat yang mengakibatkan banjir kilat di beberapa lokasi berhampiran venue persembahan mega itu bukan halangan kepada peminat atau Sayap Sayap Wings meneruskan hasrat mereka memunculkan diri di stadium.
Tunai hajat
Tepat pukul 9 malam, Datuk Awie bersama empat lagi tunjang kumpulan itu, Eddie, Black, Syam dan Edrie tampil memanaskan pentas dihiasi lima sofa umpama singgahsana raja yang mempunyai simbolik dengan konsert.
Gelanggang acara itu gamat sebaik vokalisnya atau pemilik nama lengkap, Ahmad Azhar Othman muncul di pentas mengenakan tengkolok kuning bersama kostum yang melambangkan imej hulubalang rocker sejati.
Tidak melengahkan masa, Adone Dari Paran, Jumpa Hilang, Lubuk Pusing, Cinta Seusia Kita, Komplikasi Pramayar dan Jerangkap Samar menjadi pemanas acara.
Biarpun beberapa lagu dari album Menakluk Kosmos belum mesra di telinga khalayak, momentum persembahan mereka tetap membuatkan penonton bergoyang.
Seperti diakui Awie ketika bertemu media usai konsert berkata, sudah lama mereka berhajat membawakan seleksi daripada buah tangan ke-11 itu, namun baru sekarang dapat direalisasikan.
Seperti diluahkan, segmen terawal adalah paparan pengembaraan kumpulan yang ditubuhkan sejak 1985 bersama paparan visual masa lalu temasuk ketika Joe Branko digugurkan pada 2017.
Momen Awie kembali ke pangkuan Wings pada tahun 1999 juga dikongsikan sehinggalah kemasukan ahli terbaharu mereka iaitu Edrie Hashim.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.