‘Hati kena kental, jangan sombong – Fattah Amin

KREDIBILITI Fattah Amin sebagai penggiat seni serba boleh semakin terserlah apabila aktif dengan tugasan belakang tabir yang dikatakan cukup dekat dengan dirinya sejak dua menjak ini.

Kesibukan memenuhi jadual penggambaran bukan halangan untuk fokus terhadap cabang seni yang kini digilap iaitu pengarahan video iklan di bawah syarikat Fazura Pictures iaitu rumah produksi bersama isterinya, Fazura.

Lebih sedekad mencanai bakat bermula sebagai model dan kemudian bergelar pelakon, Fattah, 33, turut mencabar diri supaya lebih fokus sebagai produser serta pengarah.

Mengakui dunia penerbitan mempunyai cabaran tersendiri, dia enggan menyerah kepada keadaan, sebaliknya berusaha keras menjual produk dengan gigih keluar masuk sesi ‘pitching’.

Pernah diusik seseorang agar menggunakan pengaruh, tegas pemilik nama lengkap Abdul Fattah Mohd. Amin perkara sebegitu tiada dalam kamus hidup mereka yang meletakkan integriti di tempat utama.

“Syarikat ini masih baharu tetapi dari segi produksi kami banyak menghasilkan video korporat, produksi iklan serta pelbagai lagi penerbitan lain di mana saya sendiri duduk di kerusi pengarah.

“Hakikatnya saya gunakan pengalaman berlakon selain ilmu ketika bekerja dengan pengarah hebat untuk diadaptasi dalam hasil kerja saya.

“Apa pun sokongan isteri selain kerjasama pasukan membuatkan Fazura Pictures tidak pernah kering idea dalam menghasilkan kisah menarik untuk dinilai dalam sesi pitching (saringan perolehan).

“Bagi saya tidak perlu jalan pintas kerana kejujuran itu penting dalam kita mencari peluang dan ruang. Saya percaya pempamer juga menilai kualiti,” katanya.

Fattah ditemui ketika hadir menemani dan memberi sokongan kepada isterinya pada majlis Ngopi Bersama Fazura di sebuah hotel ternama, baru-baru ini.

Diminta berkongsi pandangan, Pelakon Lelaki Terbaik World Film Carnival 2021 itu berharap generasi bintang muda dapat menjaga tingkah laku dan disiplin.

Jelasnya, itupun kalau mereka memang bercadang ingin kekal lama dalam industri hiburan yang penuh sepak terajang tersendiri.

“Kalau sejak mula dah tak pandai jaga imej, nama dan sikap, orang akan bercakap terutama dalam kalangan pekerja produksi, peminat dan media sendiri.

“Nanti kita juga yang rugi sebab semuanya bermula dengan sikap kita sepanjang bekerja dengan pasukan serta pihak sekeliling.

“Saya pun dulu pernah dikenali sebagai bakat baharu, habis belajar di universiti terus masuk Hero Remaja dan jadi pelakon tapi saya jadi pelakon bukan nak popular, sebaliknya bantu keluarga,” katanya panjang lebar.

Meletakkan pelakon senior lain sebagai contoh, Fattah percaya, bakat adalah apa yang paling utama dalam mengejar impian.

Dedahnya, bintang seperti Bront Palarae dan Beto Kusyairy adalah gurunya dalam memastikan kerjaya terus mewangi.

“Saya bukan jenis berbakat besar. Saya kena belajar dari bawah selain perlu hati kental supaya tak cepat melatah berdepan kritikan.

“Komen netizen itu biasa, cuma jangan cepat sentap, sebaliknya kita jadikan kata-kata pedih orang sebagai senjata untuk bangkit.

“Paling penting jangan sombong sebab industri kita kecil saja, takut nanti tiada produser mahu ambik kerja dek sikap kita sendiri,” ujarnya menggulung bicara.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok