Setiap orang harus ada sempadan – Nabila Razali

BULAN lalu nama penyanyi Nabila RazalI menjadi sebutan susulan beberapa spekulasi hubungan cintanya.

Bermula dengan isu digosipkan intim dengan pengurus sendiri, sehinggalah dakwaan telah mengikat pertunangan dengan seorang ahli perniagaan, semua itu memanaskan suhu nama penyanyi berusia 31 tahun itu di carta sensasi.

Biarpun semuanya seperti sudah bersuluh, apatah lagi gambar majlis pertunangan dengan lelaki bernama Nik Iruwan Nik Izani yang berlangsung pada 25 Ogos lalu sudah tersebar, sehingga kini pelantun lagu Pematah Hati itu masih membiarkan khalayak berteka-teki tentang status dirinya.

Tebaklah dengan pelbagai soalan pun, Nabila masih enggan memberikan waima satu pengesahan, namun dalam masih memahami kecenderungan ramai ingin mengikuti fasa-fasa penting dalam hidupnya. 

NABILA RAZALI

“Sebagai figura umum, saya tidak boleh lari daripada soalan-soalan dan perhatian khalayak. 

“Orang mahu tahu gerak-geri saya yang sudah terbiasa berkongsi dalam media sosial. 

“Bagi saya, setiap orang perlu ada sempadan. Tahu apa yang perlu diambil tahu dan harus menunggu kenyataan daripada seseorang,” katanya membuka bicara. 

Cuba menghalakan perbualan sehingga bertemu pangkal kisah pertunangan, penyanyi yang kerap terjebak sensasi mutu vokal itu tetap dengan pendirian.

Menafikan tidak, mengiakan belum, Nabila bagaimanapun seakan-akan memberikan satu bayangan.

“Saya tidak mahu komen lanjut mengenai isu sorok pertunangan. Sekiranya tiada apa-apa kenyataan dibuat, memang saya belum bersedia untuk berkongsi. 

“Saya harap orang ramai lebih fokus terhadap nyanyian saya atau pun lagu baharu yang dilancarkan,” luahnya. 

Dalam pada seronok berbual, bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-10 itu memberikan gambaran bahawa hatinya sudah terikat bersama seseorang tanpa menyebutnya secara terang-terangan.  

“Merahsiakan apa-apa kepada umum adalah keputusan kami bersama (Nabila dan tunang).

“Saya harap topik ini sampai sini sahaja. Kalau saya kongsikan dalam media sosial, memang untuk dijadikan tontonan umum. 

“Sekiranya tiada apa-apa perkongsian, saya masih belum bersedia berkongsikan hal tersebut (pertunangan),” tegasnya lagi. 

NABILA kini muncul menerusi single terbaharu Cerita Kita duet bersama Imsoniacks.

Status tunang yang diharapkan, penyanyi jolokan ratu gimik itu bagaimanapun terbuka  mengesahkan tidak lagi bersama pengurus lama iaitu Mohd. Asrul Talib atau lebih dikenali sebagai Ash. 

“Saya sudah lama berada di bawah pengurusan sendiri. Dari segi pengurusan memang tiada masalah. 

“Perkara ini bukan baru bagi saya. Mungkin ada sedikit perubahan tetapi tidak menjejaskan karier saya.

“Tiada apa yang serius pun. Cuma akan ada pertukaran untuk sesetengah perkara sahaja,” tuturnya lembut. – HIB GLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok