INDUSTRI hiburan Korea Selatan tidak dinafikan dipenuhi dengan gemerlapan populariti dan senyuman bersinar terang benderang anak seni.
Namun, hakikat pahit untuk ditelan bahawa di sebalik gaya hidup glamor ditonjolkan dalam bidang itu, kegelapan seiring jerih perih melaluinya bukanlah sesuatu yang boleh diabaikan.
Besarnya tekanan yang diberikan industri kepada deretan pelakon berbakat kadangkala bukanlah satu hal mudah ditelan sehingga menyebabkan segelintir mereka mengambil jalan untuk menyusahkan diri mereka sendiri dan sekali gus menimbulkan masalah.
Bermula dari skandal dan barangkali ingin hidup secara normal serta bebas, Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa artis Korea Selatan yang telah berhenti berlakon atas sebab-sebab tertentu.
- Heo Yi-jae
Heo Yi-jae memulakan kerjayanya pada tahun 2004 dan mula terkenal menerusi watak utama dalam drama siri Prince Hours.
Aktres jelita itu kemudiannya membintangi drama Single Dad in Love yang membawa kemuncak lain dalam kariernya.
Namun secara tiba-tiba, dia bertindak menghentikan segala aktiviti seninya pada tahun 2016 tanpa sebarang penjelasan mahupun sidang media.
Kepergian terus dicanang fitnah, pada tahun 2021, pelakon itu mendedahkan bahawa terdapat insiden seorang pelakon yang membuatkan dirinya mengalami gangguan mental.
Difahamkan, itu menjadi sebab dia bersara awal dari dunia seni.
- Bae Yong-joon
Nama mula membara menerusi drama fenomena berjudul Winter Sonata, aktor Bae Yong-joon menjadi artis Korea paling popular pada awal tahun 2000-an.
Dia kemudiannya berlakon dalam pelbagai drama hits dan memilih melangkah ke belakang tabir apabila mengumumkan berhenti dari dunia lakonan pada tahun 2007.
Punyai pakej lengkap sebagai pelakon, jejaka raut kacak itu berjaya meraih deretan anugerah berprestij.
Memilih untuk menghabiskan masa bersama insan tersayang, dia kini tinggal di Hawaii bersama isterinya yang juga pelakon, Park Soo-jin.
Mereka berkahwin sekitar Julai 2015.
- Lee Seo-won
Siapa tidak kenal dengan susuk tampan bernama Lee Seo-won yang pernah menarik perhatian ramai kerana bakat lakonannya sehingga terus dipilih untuk melakonkan watak utama dalam drama The Liar and His Lover.
Berpayung di bawah syarikat pengurusan sama dengan Park Bo-gum dan Song Joong ki, jejaka tinggi lampai itu dijangka bakal menjanjikan sesuatu kepada industri.
Harapan berderai, nama bakat muda itu menjadi maki hamun netizen apabila isu skandalnya pecah dan dibongkarkan pada tahun 2018.
Seo-won didakwa melakukan gangguan seksual dan mengancam seorang selebriti wanita dengan senjata setelah wataknya dalam drama About Time serta Music Bank diganti dengan pelakon lain.
Enggan berdalih, dia mengaku bersalah pada perbicaraan pertama tetapi mendaftar latihan ketenteraan wajib sebelum berlangsungnya perbicaraan keempat dan lenyap dari radar industri hiburan sejak itu.
- Shim Eun-ha
Setelah debut pada tahun 1994, tidak memerlukan masa yang lama bagi Shim Eun-ha untuk menjadi antara figura paling popular di Korea Selatan ketika itu.
Nama meledak menerusi Trap of Youth dan Tell Me Something, kariernya dalam industri hiburan terus mencanak hingga khabar angin mengenai pertunangannya muncul pada tahun 2002.
Setelah itu, pelakon jelita itu mencuba sehabis baik untuk tidak kelihatan di tempat awam sambil mempertahankan kariernya sebagai salah seorang bintang industri yang paling disukai ramai waktu itu.
Ingin bebas dan bahagia membina mahligai cinta, dia mengumumkan berita perkahwinannya pada tahun 2005 selain menegaskan bahawa dia tidak akan kembali berlakon lagi dan terus ‘ghaib’ sehingga sekarang.