Kebutaan mentafsir seni Joker: Folie à Deux

Di gelanggang media sosial sekarang, ramai yang sepertinya melepaskan ‘tantrum’ terhadap filem terbaharu DC Comics edaran Warner Bros Pictures berjudul Joker: Folie à Deux. 

Dilakonkan dua pelakon hebat, Joaquin Phoenix sebagai Arthur Fleck / Joker dan Lady Gaga (Lee Quinzel), filem arahan Todd Phillips meraih kritikan hebat peminat. 

Bahkan, sehingga artikel ini ditulis, rating filem Joker: Folie à Deux terus jatuh terduduk pada markah 39% (Tomatometer). 

Ada yang berpendapat, Todd sebagai pengarah tidak sepatutnya menerima tawaran mengarahkan sekuel filem Joker tersebut.

“Kisah Arthur patut tidak disekuelkan,” demikian antara coretan berbaur kesalan netizen.

Ada juga yang berpendapat, satu kesilapan besar sekuel Joker bertemakan filem muzikal. Ada yang bersetuju, dan ada juga sebaliknya. 

Keserasian lakonan antara watak Arthur Fleck (lakonan Joaquin Phoenix) dan Lee Quinzel (Lady Gaga) sangat berkesan dalam Joker: Folie à Deux.

Ada juga yang bermati-matian membenci filem terbabit hanya kerana penghujung atau ending cerita tidak seperti apa yang diharapkan. Well, bumi ini tidak berputar hanya berpaksikan apa yang terbuku di fikiran kalian. 

Joker bukan satu

Penulis berkesempatan menonton Joker: Folie à Deux 2 Oktober lalu di TGV One Utama dan ini adalah pendapat peribadi yang ingin dikongsikan kepada pembaca. 

Pertama sekali, Arthur Fleck bukanlah satu-satunya Joker dalam galaksi atau universe DC Comics. 

Ada versi Jack Napier lakonan Jack Nicholson dalam Batman. Ada juga Joker dalam Suicide Squad (lakonan Jared Leto). Bahkan, ada juga school of thought, nama sebenar Joker ialah Jack Oswald White. 

Joker versi Phoenix (Arthur Fleck) adalah salah satu versi yang dicintai ramai peminat sinema dan barangkali dengan penamat seperti apa dipaparkan dalam Joker: Folie à Deux (spoiler alert) membuatkan ramai pulang dari bangku panggung dengan sejuta rasa kecewa. 

Benar secara peribadi, penulis juga sedikit kecewa dengan terjemahan sekuel Joker versi Arthur Fleck terutama dari segi lakon layar dan plot penceritaan namun, satu perkara yang tidak boleh dinafikan filem ini cemerlang dari sudut sinematografi dan beberapa perihal lain mungkin tidak difahami kebanyakan orang. 

Joker: Folie à Deux berdepan kritikan hebat kerana bertemakan muzikal untuk filem kali ini.

Barangkali, ramai peminat mengharapkan letupan, keganasan dan panji politik seperti filem pertama namun disajikan dengan ‘kejutan’ –kecintaan Arthur terhadap muzik dan wanita bernama Lee Quinzel yang gila seperti dirinya. 

Barangkali juga, ramai yang tidak mengerti bahawa kebanyakan mereka yang berdepan dengan masalah mental menjadikan muzik atau seni teater sebagai eskapisme sembuh daripada permasalahan terbabit. 

Itu dibuktikan cukup cemerlang dalam Joker: Folie à Deux. Betapa orang-orang sekeliling menjadikan masalah kesihatan sebagai satu bahan sensasi sedangkan, ia wujud di kiri, kanan, depan dan belakang kita. 

Tersirat, mental

Itu semua dipamerkan mungkin secara tersurat dan tersirat daripada pancaindera pencinta sinema yang menonton Joker: Folie à Deux. 

Spoiler alert, lihat bagaimana warden penjara di Arkham, Jackie Sullivan (lakonan Brendan Gleeson) melayan Arthur bagai seekor binatang. 

Juga, terjemahan karakter Paddy Meyers (Steve Coogan) yang bukan ingin memberikan keadilan buat mereka teruji dengan masalah mental, tetapi dengan niat mensensasikan tindak-tanduk Arthur sebagai seorang pesakit mental. 

Bukan penulis ingin merobek keseronokan peminat yang jari jemari mereka sedang pantas mencoretkan kritikan terhadap Joker: Folie à Deux. Itu jauh sekali––tidak. 

Filem Joker (2019) menyaksikan obsesi Arthur Fleck menjadi seorang Joker namun dalam Joker: Folie à Deux, lelaki itu mencari siapa diriya yang sebenar. – WARNER BROS

Buat penulis, filem ini adalah tentang sebahagian daripada besar daripadanya adalah tentang atau berkisarkan kesihatan mental.

Wujud mereka yang ketawa terbahak-bahak namun tetap berasa sunyi yang paling dalam di dalam jiwa dan begitu juga sebaliknya. Begitu juga Arthur Fleck atau Lee Quinzel

Subjektif

Berbalik soal kualiti Joker: Folie à Deux dan penerimaan. Satu pesanan buat mereka yang belum berkunjung ke pawagam menonton mana-mana filem: Jangan biarkan kritikan peribadi mana-mana pihak membunuh semangat kalian untuk menyokong dunia sinematik

Joker: Folie à Deux mungkin bukan sebuah naskhah yang jauh daripada sempurna namun, tidak perlu rasanya mensampahkan kerja orang lain dengan menghasut menggunakan frasa ‘tiada berbaloi’, ‘buang duit dan masa’ dan pelbagai konotasi negatif lain. 

Keseluruhan buat penulis, Joker: Folie à Deux tetap sebuah filem yang kaya dengan mesej tersurat dan tersirat. Jika kalian tergolong dalam kalangan mereka yang masih tidak nampak makna di sebalik Folie à Deux (bermaksud: madness shared by two), teruskan penggalian.

Juga, menanti juga ada kemungkinan akan ada Joker: Folie à Deux versi director’s cut. Barangkali penerimaan audiens akan sedikit atau lebih berbeza berbanding sekarang.

Buat sesiapa sahaja–tidak kiralah anda seorang peminat Marvel, DC, psuedo-movie critic atau waima mereka yang berperang dengan masalah jiwa, ingat, sama ada filem itu bagus atau sebaliknya, semua itu sifatnya subjektif. – HIBGLAM



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok