Lelaki ini epitome seorang yang serba boleh.”
Demikian kata selebriti versatil, Alif Aziz yang kagum dengan susuk hebat industri muzik negara, Datuk M. Nasir yang dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan dari sebuah universiti awam tempatan semalam.
Alif atau nama lengkapnya Muhammad Alif Mohd. Satar, 34, menyifatkan pelantun lagu Apokalips itu sebagai seorang insan berbakat besar yang menjadi contoh kepada penggiat seni lain.
“Kalau tiada yang lama, tak adalah yang baharu.
“Tahniah Datuk Dr. M. Nasir. Terima kasih kerana menjadi inspirasi kepada kami anak seni tanah air.
Antara individu yang aku kagumi dari kecil. Lelaki ini adalah epitome yang sesuai diungkapkan sebagai seorang serba boleh,” katanya dalam sebuah hantaran Instagram.
Dalam masa sama, Alif turut kagum dengan pencapaian M. Nasir yang lain termasuk penglibatan dengan kerja-kerja amal kebajikan.
“Daripada layar perak hingga konsert, semuanya habis terjual.
“Daripada menghasilkan lagu hits untuk lagenda sehingga karya seni dan lukisan yang menjadi pameran di galeri seni.
Tidak dilupakan minatnya untuk kerja-kerja kemanusiaan. Masya-Allah, inilah orangnya,” ujarnya.
Pemilik nama lengkap Mohd. Nasir Mohamed, 67, menerima ijazah Kehormat Doktor Persembahan sempena Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ke-26, semalam.
Anugerah tersebut disampaikan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim selaku Canselor UPSI.
Sepanjang 45 tahun, M. Nasir telah menghasilkan lebih 3,000 lirik lagu untuk kumpulan ternama tanah air seperti Alleycats, Sweet Charity dan Flybaits selain terlibat dalam filem, konsert dan merakam lagu-lagu baharu. – HIBGLAM