Sinergi kepakaran perhebatkan industri  

BAGI meningkatkan dan mengembangkan industri seni hiburan Malaysia, dua syarikat rakaman terkemuka, Universal Music Malaysia (UMM) dan Alternate Records & Talents mengatur kolaborasi bijak sebagai rakan strategik.

Kerjasama dijangka mencetuskan revolusi dalam landskap karya tempatan selain  membuka peluang baharu buat artis tempatan meluaskan pengaruh muzik di peringkat domestik, serantau dan global.

Alternate Records yang terkenal dengan pendekatan inovatif dalam penerbitan muzik, bergabung dengan label antarabangsa Universal Music Malaysia demi sebuah anjakan membawa gabungan kepakaran terhadap penggiat industri.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, sinergi tersebut penting bagi memberi variasi dalam industri muzik tanah air dan mampu mencungkil bakat baharu yang bakal hadir. 

“Ini juga merupakan langkah mengembangkan lagi industri muzik tanah air dengan menggabungkan kepakaran dua label gergasi.

“Kami percaya kerjasama ini bakal meningkatkan lagi keupayaan kami dalam memahami selera tempatan dan mengukuhkan komitmen dalam menggalakkan inovasi dan kepelbagaian muzik,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan, Penerbitan Filem, Muzik dan Kandungan Rancangan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad iaitu Shahila Shah Harun berharap kolaborasi bersama Universal mampu meluaskan karya artis tempatan ke peringkat lebih tinggi. 

“Kerjasama ini adalah langkah strategik untuk meluaskan pengaruh artis tempatan. Dengan sokongan Universal Music, kami yakin dapat menghasilkan karya yang bukan sahaja berkualiti tinggi tetapi juga mampu menembusi pasaran muzik.

“Alternate Records dan Universal Music mempunyai barisan artis  berbakat dan seharusnya kami saling menyokong dari segi promosi, produksi, dan pengedaran. Ini adalah permulaan era baharu dalam industri muzik Malaysia,” tuturnya. 

Data

Selain itu, Shahila berpendapat pihak Universal yang mempunyai data terperinci mengenai muzik tempatan membolehkan mereka mengenal pasti kehendak pendengar muzik masa kini.

“Kami berharap, pihak Universal Music Malaysia dapat menyediakan platfom terbaik bagi artis dan bergabung bersama kami untuk beri sokongan penuh dalam aspek penerbitan, pemasaran dan pembangunan artis.

“Universal ada data analisis yang boleh dapatkan informasi lebih tepat untuk sama-sama memerah otak merancang dan berfikir cara lebih baik bagi memaksimakan setiap penceritaan lagu,” ujarnya lagi.

Tambah Shahila, kerjasama bersama Universal Music Malaysia akan berlangsung selama tiga tahun di semua platform. 

Antara artis yang sedang dan bakal memulakan projek kerjasama itu ialah Marsha Milan, Rahmad Mega, Puteri Khareeza, Sonaone, Ernie Zakri, Bella Astillah dan Ezra Kairo.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok