ST12, Nidji bikin Borneo senyum sampai telinga

SPEKTAKULAR! Itu yang dirasai saat konsert band popular seberang, ST12 dan Nidji Live In Sabah yang melukis senyuman puas lebih 4,000 penonton di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Meski kedua-dua band Indonesia tidak lagi bersama vokalis asal, namun itu bukan halangan untuk menjejaskan energi persembahan ST12 dan Nidji.

Berlangsung Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), konsert selama lebih tiga jam itu bagaikan sebuah festival muzik  kerana turut menampilkan persembahan muzik tradisi Sabah daripada Razali Kulintangan melalui lagu Sumandak Sabah dan Original Sabahan yang dimainkan instrumental.

Tirai konsert diteruskan dengan petikan gitar oleh YouTuber terkenal, Anwar Amzah untuk lagu Cari Pacar Lagi dan Hapus Aku.

Memiliki jutaan peminat tersendiri, antara 16 lagu kumpulan ST12 yang dipersembahan dalam konsert berkenaan, termasuklah Puspa,  Rasa Yang  Tertinggal, Cukup  Sampai di Sini, Putri Iklan, Cari Pacar Lagi, Aku Terjatuh dan Putih-Putih Melati.

Selain itu, kelincahan vokalis Nidji, Ubay pula tampil dengan 13 buah hit sepanjang zaman mereka seperti Arti Sahabat, Bila Aku Jatuh Cinta, Ku Takkan Bisa, Hapus Aku dan Laskar Pelangi.

Terkenal menerusi lagu Kehilangan, penyanyi Firman Siagian juga tidak ketinggalan mendendangkan ‘killer song’ yang banyak menaikkan namanya sebagai penyanyi solo suatu ketika dahulu.

Konsert menjadi gamat apabila penonton dikejutkan dengan  kemunculan legenda rock, Datuk Amy Search yang menyanyikan lagu Isabella bersama ST12.

Dianjuran ZR Project dan MW Pertama, Amy yang sebelum itu menjayakan persembahan pada Konsert Sentuhan Agro Madani Negeri Sabah di Kompleks Sukan Likas bagaikan menyuntik tenaga baharu kepada penonton.

Firman Siagian selaku vokalis ST12 pada konsert itu bersama Aris Idol turut dilihat berkongsi keterujaan yang sama dengan penonton.

Malahan pemain bass ST12, Indra memberikan ‘standing ovation’ sebelum memeluk vokalis Search berusia 65 tahun itu.

Biarpun selepas dua jam konsert berlangsung, penonton tetap setia menantikan kehadiran Nidji.

Lebih dua dekad berada dalam liga seni, Nidji membuka slot persembahan mereka dengan rangkaian lagu termasuk Sahabat, Ku Takkan Bisa, Kau dan Aku, Sudah dan Jangan Lupakan.

Tidak setakat membawakan lagu-lagu lama, Nidji juga mendendangkan lagu Wadoow yang diinspirasikan daripada pembaharuan dalam band terbabit selepas pengunduran vokalis asal, Giring Ganesha.

Kehadiran lagu Wadoow menandakan single pertama Ubay atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf Nur Ubay selepas dipilih secara rasmi sebagai vokalis Nidji sejak 2019.

Pemain gitar Nidji, Muhammad Ramadhista Akbar alias Rama menyatakan Nidji gembira dapat kembali semula ke Sabah selepas 17 tahun.

Pada 2006, Nidji sempat ke sini tetapi tidak dapat membuat persembahan.

“Selepas 17 tahun, akhirnya kami dapat kembali ke Sabah dan mengadakan konsert di sini buat pertama kalinya,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok