‘Saya tak anggap mereka tidak berhati perut’

AMPUH mengukir nama dalam industri muzik tanah air, nama Aina Abdul tidak lagi memerlukan pengenalan panjang.

Mendakap kejayaan menerusi pelbagai anugerah, kerjaya wanita bertubuh genit itu semakin mekar mewangi. 

Pernah sendu pada awal kemunculan sekitar 2014, strategi dipasang melalui fesyen ‘avantgarde’ membuahkan hasil, sekali gus meletakkan kedudukannya sebagai penyanyi ‘papan atas’.

Kendatipun, hakikat hidup artis bagai di bawah mikroskop netizen, fesyen eksentrik itu mudah mengundang hamburan kata nista khalayak walaupun bakat seni Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani melebihi segalanya.

Terus hidup persis tajuk lagunya, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu berpegang kepada prinsip tak hidup dek puji tak mati dek keji. Dia menerima segala teguran dengan hati yang terbuka meskipun sering berdepan buli siber.

Aina mengakui, sifir yang diamalkan untuk menepis serangan pembuli siber adalah dengan tidak memberikan sebarang respons berhubung sesuatu perkara, terutama kontroversi melibatkan banyak pihak.

Enggan luka menjadi kudis, bagi Aina, mengunci mulut serapatnya merupakan antara langkah terbaik menjaga kesihatan mental.

“Dalam soal menangani buli siber, bagaimana cara saya kendalikannya berbeza dengan orang lain. Kebiasaannya, saya  telan sahaja kata-kata netizen.

“Sangat penting untuk kita ada mental yang kuat. Selepas baca komen begitu, saya akan ‘offline’ untuk beberapa jam. Ini kerana saya diajar untuk tidak beri respons terhadap apa-apa yang dibahas dalam media sosial tentang saya. 

“Jadi mungkin kerana itu jarang atau sangat susah untuk melihat saya ‘meletup’ dalam media sosial. 

“Bagi saya, jika dilayan, makin melarat dan boleh memberi kesan kepada kesihatan mental,” katanya kepada Pose.

Menghargai setiap pendirian khalayak, penghibur berusia 30 tahun itu mencuba sedaya upaya untuk menghormati dan meraikan setiap pandangan pihak lain yang tentang dirinya.

“Saya tak anggap mereka tidak berhati perut. Sebagai anak seni, kita kena faham dari mana mereka datang, nama pun netizen.

“Pendapat yang mereka ekspresikan dalam media sosial adalah pandangan mereka. Sama ada  benar atau salah, penting untuk orang yang kerja macam saya beradaptasi dengan situasi. 

“Saya akan selalu beritahu diri, tak mengapa Aina, mereka tak tahu cerita sebenar dan tak boleh salahkan mereka’,” kongsinya.

Tidak menyimpan dendam,  pemenang Anugerah Penyanyi Popular Bintang Popular ke-35 (ABP35) itu memilih untuk memaafkan semua pihak yang pernah berkata buruk tentang dirinya.

“Setakat ini, tiada lagi saya tak maafkan. Semuanya sama rata di mata saya. Semua ini sudah menjadi lumrah dan sepak terajang dalam karier seni saya. 

“Di pihak saya, saya akan sentiasa cuba sebaik mungkin untuk terus kuat berada dalam industri ini. 

“Pada akhirnya, saya sendiri pilih jalan ini dan perlu habiskan apa yang sudah dimulakan.

“Karier saya adalah satu perjuangan, saya tidak boleh biarkan komen negatif menang. 

“Ada satu kata-kata yang saya pegang dalam hidup iaitu, menyinarlah dalam diam, dan auramu akan berbicara sendiri,” ujarnya tenang.

Berbicara tentang perkembangan terkini, Aina sedang rancak mempromosikan lagu duet terbaharu bersama penyanyi Indonesia, Fabio Asher berjudul Cinta Tak Pernah Tepat Waktu.

Menariknya lagu tersebut adalah ciptaan sepenuh penyanyi dan komposer terkenal Melly Goeslaw  dan merupakan runut bunyi untuk filem arahan Hanung Bramantyo itu yang menggunakan tajuk sama iaitu Cinta Tak Pernah Tepat Waktu. -HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok