Gagal sebagai idola, sukses berlakon

SETIAP figura yang bergelar anak seni pastinya mempunyai cerita jatuh bangun tersendiri, bagaimana mereka berpeluh keringat untuk memasuki industri sekali gus melakar nama dan membina kerjaya.

Hakikat semuanya bergantung kepada nasib, tidak semua bidang yang diceburi meraih kejayaan persis apa yang diimpi.

Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa selebriti Korea Selatan yang gagal mencipta nama sebagai idola, namun sukses apabila bertukar karier sebagai pelakon.

  • Kim Min-jae

Empat tahun menjadi idola pelatih bawah agensi CJ E&M, Kim Min-jae pernah menunjukkan bakatnya menyanyi lagu rap dalam acara survival, Show Me The Money 4, pada tahun 2015 yang meraih perhatian penonton.

Meletakkan sepenuh jiwa dalam karier dan karya, entah di mana silapnya nama dan bakat jejaka berusia 28 tahun itu dipandang sepi.

Mencari jalan supaya dikenali agar mudah untuk mengetengahkan bakat nyanyian yang ada, Min-jae mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan.

Mengakui jatuh cinta dengan dunia lakonan, dia membuktikan kualiti lakonannya seiring bakat besar sebagai seorang pelakon dengan menghiasi pelbagai drama bahkan memenangi pelbagai anugerah.

Terpaksa melepaskan keinginannya untuk menjadi bintang idola, jejaka tinggi lampai itu kini fokus berlakon dalam pelbagai naskhah berat dan kompleks sehingga dipuji orang industri sebagai pelapis aktor berkualiti.

 

  • Ahn Hyo-seop

Sudah bukan rahsia lagi bahawa Ahn Hyo-seop pernah menjalani kehidupan sebagai idola pelatih di bawah agensi JYP Entertainment.

Berbekalkan raut tampan setara bakat dimiliki, jejaka berusia 28 tahun itu hampir debut sebagai kumpulan GOT7.

Tidak bernasib baik, dia terpaksa disingkirkan kerana fizikalnya yang tidak begitu tinggi selain kurang menyerlah daripada segi gaya keterampilan.

Reda dengan hakikat yang sukar ditelan itu, Hyo-seop mencuba cabang seni lain iaitu lakonan dan mula membina nama menerusi pelbagai drama fenomena seperti Dr. Romantic, Business Proposal dan A Time Called You.

Terus mendakap tuah bahkan diangkat sebagai antara aktor paling popular di Korea Selatan, rata-rata drama, filem bahkan iklan dihiasi dengan wajah jejaka kacukan Inggeris itu.

  • Kim Min-kyu

Mempunyai bakat seiring rupa paras tampan barangkali sudah cukup buat sesetengah idola pelatih untuk debut sebagai bintang K-pop, namun itu tidak berlaku pada Kim Min-kyu.

Usaha keras jejaka berusia 30 tahun itu membina nama sebagai penyanyi menerusi pelbagai pertandingan ternyata tidak berhasil.

Tidak bergoyang kaki, semuanya dilakukannya malah Min-kyu pernah memukau orang ramai dengan suara merdu dan telatah comelnya melalui program I Can See Your Voice.

Dia juga pernah menjadi idola pelatih selama 1 bulan bersama ahli kumpulan SEVENTEEN, namun kariernya kekal ditakuk sama.

Bagaimanapun segala-galanya berubah apabila dia mula berlakon menerusi drama Signal pada 2016 yang melonjakkan nama dan kariernya ke puncak.

Kini, Min-kyu mempunyai pengaruh yang besar dan menjadi salah salah seorang aktor papan atas yang dikejar ramai pengarah dan heroin untuk bergandingan bersama.

  • Lee Jong-suk

SIAPA tidak mengenali aktor raut tampan bernama Lee Jong-suk, aura dan kredibiliti lakonannya sememangnya tidak dapat disangkalkan lagi.

Namun siapa sangka, jejaka berusia 34 tahun itu pernah menjalani kehidupan sebagai idola pelatih di bawah syarikat SM Entertainment selama 3 bulan.

Berhempas pulas berlatih setiap hari baik dari segi nyanyian mahupun tarian, Jong-suk terpaksa melupakan impiannya untuk menjadi idola kerana menyedari dirinya tidak sesuai dalam bidang tersebut

Tidak berputus asa, aktor tinggi lampai itu mencuba nasib dalam dunia lakonan menerusi drama siri berjudul Prosecutor Princess pada 2010.

Tuah menyebelahinya, bakat yang dipamerkan Jong-suk dalam drama berkenaan telah memikat hati penonton, sekali gus meraih perhatian deretan sutradara yang ingin mengambilnya untuk menghiasi naskhah mereka.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok