[VIDEO] Wicked: Terjemahan filem muzikal terbaik 2024

SEJUJURNYA, penulis berasa sedikit ralat apabila filem Wicked dibahagikan kepada dua bahagian.

Bagaimanapun, selepas menghabiskan tontonan karya berdurasi 160 minit tersebut pada tayangan filem arahan Jon. M Chu di TGV One Utama kelmarin, ternyata, rasa ralat bertukar menjadi sesuatu yang ‘bahagia’.

Bahagia kerana sememangnya terjemahan filem yang menampilkan duo hebat, Cynthia Erivo dan Ariana Grande tersebut ada asbab kukuh mengapa perlu bersambung tahun hadapan.

Jika tidak, pasti tindakan ‘mematikan’ atau membuat audiens tertunggu-tunggu selepas dipamerkan babak penamat yang berlangsung cukup luar biasa kali ini terasa dangkal.

WATAK Wicked Witch of the West atau Green Witch diterjemahkan Cynthia Erivo dengan bijak.

Momen ‘Defying Gravity’

Momen ‘Defying Gravity’ yang dijayakan Erivo sebagai Elphaba Thropp bertukar menjadi Wicked Witch of West adalah antara terjemahan sinematik terindah pernah ditonton penulis buat tahun ini.

Ariana sebagai Galinda Upland juga langsung tidak mengecewakan. Sehingga pada babak penamat, barulah penulis sedar bahawa selain dilahirkan sebagai bintang pop, Ariana juga memang dilahirkan ke dunia untuk bergelar pelakon hebat.

Apa yang membuatkan diri terpaku saat melunaskan tontonan adalah mesej yang ingin disampaikan iaitu budaya buli.

Karakter Elphaba membuktikan bahawa manusia sememangnya ‘pantang’ melihat sesuatu tidak lazim di mata mereka.

Disebabkan kulit wajah Elphaba berona hijau, dia dengan sewenang-wenangnya dipulau orang sekeliling dan bersekongkol untuk menidakkan haknya untuk hidup normal seperti manusia lain.

Situasi tersebut menyentap realiti atau memberi ‘sudden realization’ kepada penulis bahawa inilah yang selalu berlaku dalam dunia.

OZ lakonan Jeff Goldblum dan Madame Moribble (Michelle Yeoh) dalam Wicked yang disifatkan ramai sebagai filem muzikal terhebat tahun ini.

Sepatutnya kita menghulurkan tangan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan namun, majoriti hanya menyertai ‘bandwagon’ kerana itu adalah apa yang membuatkan diri berasa seronok.

Bukan itu sahaja dilihat berlaku kepada Elphaba yang dipulaukan rakan-rakan Universiti Shiz, namun adiknya Nessarose Thropp (lakonan Marissa Bode) turut berdepan situasi sama hanya kerana kelainan upayanya.

Muzikal terhebat

Itu antara sebab mengapa alur cerita atau plot Wicked diberikan markah cemerlang tertinggi meskipun ada bahagian ‘sluggish’ atau perlahan yang membuatkan audiens seperti penulis kadang-kadang menguap tanda menginginkan ‘sesuatu’ dalam perjalanan filem.

Berikutnya, Wicked adalah filem muzikal dan bukan peminat elemen tersebut tetap boleh berlapang dada dan menikmati segala apa yang dibentangkan seadanya.

Pendek kata, setiap individu yang terlibat dalam Wicked tahu peranan memasing, terutama pelakon (bukan hanya melontarkan dialog) termasuklah kesayangan negara, Tan Sri Michelle Yeoh yang memainkan karakter Madame Morrible.

Biarpun nyanyian Michelle tidaklah sehebat Erivo atau Ariana, namun beliau mencuba dan percubaan tersebut langsung tidak nampak canggung, bahkan meninggalkan tetap ada impak

BUKAN sahaja hebat menyanyi, Ariana ternyata seorang pelakon luar biasa.

Selain itu, kesan khas (VFX) dan sinematografi Wicked antara yang paling meninggalkan dampak.

Penulis tidak mengerti keluhan sebilangan penonton atau segelintir pengkiritik yang tidak berpuas hati dengan elemen ‘colour grading’ dalam Wicked. Mood yang diterjemahkan menerusi palette warna baik-baik sahaja.

Keseluruhannya, Wicked berjaya mengubah persepsi audiens tentang ‘green witch’ bernama Elphaba yang selama ini disalah erti sebilangan penjunjung budaya pop.

Naskhah tersebut juga membuktikan bahawa pencetus masalah dalam sesuatu keadaan adalah masyarakat, bukan individu perseorangan, itulah Wicked. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok