[VIDEO] Time Cut filem ‘separuh masak’

SEBAGAI peminat filem berbentuk slasher, penulis sangat teruja apabila Time Cut arahan Hannah MacPherson diterbitkan menerusi platform penstriman filem, Netflix.

Membuatkan adrenalin lebih menderas adalah karya berkenaan turut dicantumkan dengan elemen sains fiksyen, sekali gus membuatkan ramai tidak sabar menontonnya.

Secara keseluruhannya, Time Cut mempunyai idea menarik yang mampu menyorot perhatian audiens namun banyak perkara yang tidak dicernakan dengan baik dari sudut filemografi.

Pertama sekali, dari segi alur cerita filem ini banyak cacat celanya. Karya yang baik datang daripada skrip yang diadun cemerlang. Itu tiada dalam Time Cut.

TERJEMAHAN karakter pemain utama filem Time Cut, Quinn, Lucy, Summer kurang memberangsangkan.

Sedari minit awal perjalanan cerita sudah dapat mengagak siapa pembunuh bertopeng atau slasher dalam Time Out.

Keduanya, dari segi terjemahan karakter, barisan pelakon iaitu Madison Bailey, Antonia Gentry dan Griffin Gluck kurang peka terhadap adunan karakter masing-masing.

Terjemahan karakter

Hasilnya, watak yang mempunyai potensi untuk dikembangkan dengan baik tidak dihidupkan dengan sempurna. Misalnya, karakter Lucy Field lakonan pelakon remaja Madison Bailey sangat mengecewakan.

Juga, karakter Summer Field yang sepatutnya menjadi remaja popular di kolej tidak meninggalkan dampak secukupnya kepada penonton. Umpamanya, kita tonton hari ini, esoknya memang tidak ingat lagi karakter tersebut.

TIME Cut sebuah karya separuh masak dan gagal diterjemahkan dengan baik.

Seperti apa yang dinukilkan pada perenggan terdahulu, apa yang penulis suka tentang filem ini adalah idea mencantumkan elemen slasher dan sains fiksyen.

Separuh masak

Kendatipun, idea tersebut tidak diterjemahkan dengan sebaiknya-baiknya. Babak atau elemen sains fiksyen dalam filem ini rasa seperti ‘terpaksa’ serta tiada penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Semuanya dicernakan separuh masak dan untuk itu, apa yang dipamerkan dalam Time Cut tidak menepati piawaian dan tidak keterlaluan andai disimpulkan sebagai amat mengecewakan.

Apa yang penulis kurang gemari adalah penamat atau klimaks filem ini. Tidak kisahlah kalau mahu pengakhiran bahagia untuk orang sekali pun, jangan sampai langgar hukum fizik atau kuantum.

Sedikit sinopsis, Time Cut mengisahkan tentang seorang remaja wanita yang secara tidak sengaja mengembara ke tahun 2003 dan cuba menyelamatkan kakak kandungnya daripada kecelakaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok