PELAKON Diana Danielle kesal perkongsian mendekatkan diri dengan Allah mengundang reaksi negatif segelintir pihak apabila mengaitkan amalan dilakukan dengan dirinya yang belum bertudung.
Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, berkata, sewajarnya seseorang itu tidak memandang rendah usaha insan lain yang berjuang mengubah diri menjadi lebih baik.
“Sejak saya berkongsi solat adalah sumber kekuatan saya, reaksi pertama yang sering kali diberikan netizen adalah tutup aurat dulu.
Adakah jika saya belum sempurna, saya tak layak untuk solat? Jangan kaitkan kesempurnaan dengan amalan. Setiap orang sedang bergelut dengan diri sendiri dan berjuang melawan nafsu masing-masing.
“Yang penting, kita semua sedang berusaha ke arah kebaikan. Elak merendah-rendahkan sesiapa yang sedang cuba berubah,” katanya menerusi aplikasi Threads.
Menurut ibu kepada dua anak itu, menunaikan solat adalah kewajiban bahkan bukan perkara ganjil bagi wanita yang masih belum berhijab seperti dirinya untuk melakukan amalan itu.
Katanya sama ada amalan diterima atau sebaliknya, jangan berhenti untuk terus beramal.
Kenapa perlu rasa pelik bila orang tak bertudung bagitahu mereka solat? Kan setiap orang ada ujian berbeza. Solat tanda kesedaran untuk berubah dan menjadi lebih baik.
“Berdosa atau tidak, lebih baik kita teruskan amalan rohani sebab mendekatkan diri dengan Allah tak pernah akan jadi perkara yang sia-sia,” ujarnya.
Sebelum ini, Diana memaklumkan dapat melalui proses penceraian dengan lebih tenang selepas meluahkan segala perasaan yang terbuku di hati ketika bersolat.
Terdahulu, pelakon Imaginur itu mengejutkan ramai apabila memfailkan perceraian buat kali kedua selepas setahun kembali rujuk bersama suaminya, aktor Farid Kamil.
Diana dan Farid yang mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.
Pasangan terbabit pernah bercerai talak satu pada 10 Ogos tahun lalu secara dalam talian sebelum rujuk semula sebulan kemudian. – HIBGLAM