SAMA-SAMA mengemudi kerjaya muzik pada usia belasan tahun, penyanyi Tomok dan Siti Nordiana sudah lali dengan sepak terajang sepanjang mengukuhkan posisi terus bertahan di arena seni suara.
Bukan sedikit air mata dan keringat menitis ketika awal memperkenalkan diri dengan bermodalkan vokal serta bakat nyanyian.
Biarpun waktu itu masing-masing berbeza aliran apabila Siti Nordiana atau Nana tampil solo, manakala Tomok bersama kumpulan New Boyz, mereka bersahabat sekali gus saling bertukar cerita.
Bersatu di pentas mega
Kini lebih 25 tahun berlalu, mereka yang bukan lagi budak hingusan semakin matang menempuh dugaan karier seni dan kehidupan, bahkan bakal bersatu di pentas mega dinamakan konsert Memori Mungkin Berulang.
Menurut Tomok atau Shah Indrawan Ismail, 40, idea yang tercetus ketika mengundang teman seperjuangan berduet dalam konsert New Boyz pada awal tahun ini akhirnya terlaksana.
“Saya dan Nana mula menyanyi pada waktu yang sama iaitu sekitar 1999 dan kini kami masih rapat sehingga timbul idea untuk mengadakan konsert bersama-sama hasil sokongan peminat.
Lagipun kami sudah menghasilkan single yang menggamit memori lagu-lagu popular seperti Memori Berkasih dan Sejarah Mungkin Berulang.
“Jadi judul persembahan mega kami berdua iaitu Memori Mungkin Berulang bakal menghimpunkan peminat kami berdua.
Anjuran syarikat Tomok
Dianjurkan syarikat milik Tomok, Popsicle Records, konsert tersebut bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Februari 2025.
Penyanyi itu berkata, memang sudah tiba masanya mereka bergabung dalam satu pentas besar selepas peminat memberikan sokongan hebat terhadap single serta paduan suara mereka.
“Saya dapat rasa ‘vibe’ yang seronok daripada penonton ketika berduet dengan Nana di Konsert New Boyz di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), tempoh hari.
Saya rasa ini masa tepat untuk kami tampil dengan konsert sebab masing-masing ada banyak lagu popular. Jadi, konsert ini bakal sarat penceritaan sejak era 1990-an hingga sekarang.
“Selepas berbincang, saya terus hubungi Zepp Kuala Lumpur untuk dapatkan tarikh iaitu sejak kami berduet di Konsert New Boyz dan kini terhasilnya perancangan konsert ini,” katanya ketika ditemui HibGlam baru-baru ini.
Menurut Tomok lagi, pada masa sama konsert Memori Mungkin Berulang turut mengimbau kenangan zaman Nana berduet dengan teman seperjuangannya, Allahyarham Achik.
Sudah pasti selain segmen solo, paduan duet mereka nanti bakal mengetengahkan rangkaian dendangan hits Nana bersama Achik.
Saya mahu berduet dengan Nana dengan menyampaikan lagu popular seperti Memori Berkasih, Resipi Berkasih dan Gurauan Berkasih.
“Sejujurnya saya memang ingin merealisasikan konsert yang berbaloi dan memenuhi permintaan ramai, sekali gus meletakkan satu tanda aras.
Setakat ini saya sudah hasilkan empat konsert New Boyz sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pastinya saya berharap konsert ini berjalan lancar dan diterima peminat.
“Kami juga merancang melakukan gimik dan persembahan istimewa,” katanya.
Teruja
Sementara itu, Nana turut mengakui teruja untuk sepentas dengan sahabat baiknya selepas ramai yang menunjukkan respons positif terhadap duet mereka.
Biarpun baru mengadakan konsert solo, kemunculan bersama sahabat baiknya disifatkan sebagai momen dinantikan.
Bahkan, apabila Tomok mempelawanya beraksi dalam konsert pada 1 Februari tahun depan itu, dia mengakui tidak perlu berfikir panjang kerana itu antara jemputan yang menggembirakan.
Demi persediaan menghadapi hari bersejarah itu, Nana atau nama sebenarnya Siti Nordiana Alias, 40, sanggup ‘berpantang’ demi menjaga suara.
“Tahap vokal saya menurun ketika menyertai program realiti, All Stars Gegar Vaganza (GV10) tahun lalu yang sebenarnya berpunca daripada Covid-19.
Apabila menyertai GV10, keadaan vokal saya menjadi semakin teruk selepas memaksa diri meneruskan perjuangan hingga saat akhir.
“Biarpun sudah pulih, saya kena berpantang dan tidak boleh mengambil kopi sejak setahun lalu bagi mengelakkan masalah lama berulang,” katanya.
Bagi memantapkan lagi vokal, Nana turut menghadiri kelas vokal di bawah bimbingan Datuk Syafinaz Selamat dengan lebih kerap.
Kelas vokal, segmen
“Menyanyi adalah kerjaya saya. Apabila berlaku masalah pada pita vokal sudah tentu boleh memberi risiko terhadap nyanyian.
Kalau ikutkan, saya hadir ke kelas vokal setiap bulan. Saya kena berlatih dan ‘top up’ suara sebagai antara latihan intensif menjelang konsert.
“Tapi persediaan kali ini berganda termasuk dari segi stamina agar saya mampu memberikan yang terbaik sepanjang dua jam konsert tersebut berlangsung,” kongsinya.
Menyentuh mengenai pembahagian segmen, akuinya, mereka banyak berbincang dan masing-masing turut menyuntik idea bagi segmen solo serta duet.
“Walaupun sudah tampil dalam konsert solo, paling pasti Memori Mungkin Berulang menjanjikan kelainan dan keunikan tersendiri.
Kami akan menyanyi lagu duet Tomok dengan penyanyi lain, misalnya lagu bersama Yana Samsudin dan Fatin Afeefa selain mengimbas nostalgia kegemilangan lagu saya dan Allahyarham Achik.
“Tidak sabar menunggu hari bersejarah itu apatah lagi dapat menghimpunkan semua peminat kami termasuk penggemar setia Achik,” katanya.
Konsert Memori Mungkin Berulang dijadualkan berlangsung pada 1 Februari 2025 bertempat di Zepp Kuala Lumpur.
Tiket berharga RM98 sehingga RM5,000 boleh ditempah menerusi www.ticket2u.com.my. – HIBGLAM