Tiket konsert langsai 3 jam, bukti Rossa relevan

SUSULAN kejayaan tayangan filem dokumentari All Access To Rossa 25 Shining Years yang dilancarkan di Malaysia pada 18 Oktober lalu, penyanyi Indonesia Datuk Seri Rossa bakal menggegarkan Kuala Lumpur dengan konsert solonya tahun hadapan.

Lebih mengujakan, tiket pra-jualan konsert judul Here I Am tersebut yang dibuka pada 11 November lalu di platform Ticket2U habis ditempah dalam tempoh tiga jam sahaja.

Penjualan tiket yang laris membuktikan kehebatan pemilik nama sebenar Sri Rossa Roslaina Handiyani, 46, masih lagi menerima sambutan hangat dalam kalangan peminat tempatan.

“Saya sangat teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur dan menyampaikan lagu-lagu yang membawa maksud mendalam buat saya.

“Sokongan peminat Malaysia sentiasa menghangatkan hati saya dan saya tidak sabar untuk berkongsi detik istimewa ini bersama mereka setelah 25 tahun berkarya,” katanya.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Datuk Aizuddin Ghazali, pihaknya teruja menerima sambutan hangat peminat selain berharap konsert ini dapat mengekalkan hubungan antara dua negara, Malaysia dan Indonesia.

“Kami di PRIHATIN amat berbesar hati untuk bersama-sama menjayakan konsert ini sebagai inisiatif untuk merapatkan hubungan dua negara melalui platform muzik, seterusnya membantu Malaysia bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Rossa adalah ikon seni yang disegani serta dihormati dan kami yakin konsert ini akan memberikan memori terindah buat semua peminat beliau serta memperkukuh ikatan persaudaraan serantau,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Aizuddin turut memaklumkan bahawa usaha menjayakan konsert dilakukan selepas menerima banyak permintaan peminat yang mahukan persembahan besar daripada Rossa.

“Atas permintaan ramai, khususnya Pencinta Rossa di Malaysia, kami membawakan konsert ini untuk mereka yang setia menyokong dia selama ini,” tuturnya lagi.

Sebarang maklumat lanjut mengenai konsert anjuran PRIHATIN dan Inspire Production dengan kerjasama SAH Entertainment, boleh ikuti media sosial rasmi Rossa dan juga platform jualan tiket. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok