Tiada keperluan ulas isu cerai secara terperinci – Diana Danielle

TIADA keperluan untuk mengulas lanjut, itu yang ditegaskan pelakon Diana Danielle berhubung tindakannya berdiam diri selepas memfailkan perceraian terhadap suaminya, Farid Kamil di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, hari ini.

Diana atau Diana Danielle Danny Beeson, 33, berkata, dia tidak nampak sebarang faedah untuk mengulas lanjut isu perceraiannya dan kenyataan ringkas berhubung perkara tersebut telah diberikan kepada pihak media serta menganggapnya sudah memadai.

“Izinkan saya untuk menjelaskan, hari ini saya telah dipanggil oleh peguam ke mahkamah untuk menyelesaikan dokumen yang diperlukan bagi kes rujuk dan perceraian.

Saya telah memberikan respons ringkas kepada pihak media yang saya percaya sudah memadai.

“Sebaik sahaja menyelesaikan perkara yang ingin dicapai, saya melihat tiada faedah untuk membincangkan perkara tersebut lebih lanjut,” katanya dalam InstaStory hari ini.

Tambahnya, dia hanya mahu menyelesaikan kemelut rumah tangga dengan Farid secara aman dan mendapat pengakhiran yang baik untuk kedua pihak.

Kata Diana lagi, peguam syarie yang mewakilinya iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader juga telah menjawab semua soalan diajukan pihak media berhubung kes permohonan cerainya dengan baik.

“Peguam saya sudah memberikan semua jawapan yang relevan kepada media. Disebabkan itu, saya memilih untuk meninggalkan mahkamah kerana tujuan ke sana sudah tercapai.

Saya datang ke mahkamah untuk meneruskan apa yang perlu dilakukan dan tidak nampak sebab untuk menjelaskan perkara ini dengan lebih terperinci.

“Satu perkara yang jelas, saya mencari jalan untuk bercerai tanpa sebarang gangguan luar. Saya kekal dengan pendirian sehingga kes cerai ini selesai,” ujarnya

Hari ini, mahkamah menetapkan 20 November depan sebagai tarikh sebutan pertama bagi permohonan rujuk dan perceraian.

Peguam syarie mewakili Diana iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir berkata, Diana memfailkan cerai kerana tiada persefahaman dan shiqaq (perbalahan) berpanjangan.

Sebelum itu, ketika tiba di mahkamah, Diana yang memakai jubah hitam mengharapkan urusan perceraian berjalan dengan baik selain berpendapat tiada keperluan untuk melalui proses mahkamah yang berpanjangan.

Terdahulu, Diana mengejutkan ramai apabila mengumumkan akan memfailkan cerai buat kali kedua terhadap Farid dalam satu hantaran Instagramnya pada 28 Oktober lalu.

Bintang filem Imaginur itu turut memberi peringatan kepada Farid agar tidak memujuknya lagi selain jemu dengan janji yang tidak ditepati sebelum ini.

Farid bagaimanapun menegaskan dia masih menyayangi Diana dan anak-anak selain nekad mempertahankan rumah tangganya.

Pada 10 Mac tahun lalu, Diana pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Farid dan Diana kemudiannya sah bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu namun kembali rujuk sebulan kemudian.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok