RASA saya okey tak?”
Itu respons pelakon Diana Danielle ketika tiba di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi memfailkan cerai terhadap suaminya, Farid Kamil hari ini.
Kelihatan tenang dalam busana serba hitam, Diana, 34, mengharapkan semua urusan perceraian mereka berjalan dengan baik.
Saya harap yang terbaik untuk kedua-dua belah pihak. Selagi boleh senyum, saya senyum.
“Saya rasa tiada keperluan untuk melalui proses mahkamah yang panjang,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Syariah Rendah Wilayah Persekutuan, hari ini.
Dalam masa sama, Diana hanya tergelak apabila ditanya sekiranya Farid melakukan kejutan dan pujukan selepas ini.
Hari ini, Diana turut hadir bersama peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kadir yang memberitahu perceraian tersebut berlaku atas punca tiada persefahaman antara mereka.
Terdahulu, Diana mengejutkan ramai apabila mengumumkan akan memfailkan cerai buat kali kedua terhadap Farid dalam satu hantaran Instagramnya pada 28 Oktober lalu.
Bintang filem Imaginur itu juga memberi peringatan kepada Farid agar tidak memujuknya lagi selain jemu dengan janji yang tidak ditepati sebelum ini.
Sementara, Farid memaklumkan dia masih menyayangi Diana dan anak-anak selain akan terus mempertahankan rumah tangganya.
Pada 10 Mac tahun lalu, Diana pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Farid dan Diana kemudiannya sah bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu namun kembali rujuk sebulan kemudian.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang kini berusia 9 sembilan tahun. — HIBGLAM
View this post on Instagram